JENAYAH & MAHKAMAH

MENYAMAR POLIS DAN MEROMPAK, PENGANGGUR DIPENJARA SETAHUN

03/07/2024 04:48 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dipenjara setahun dan dikenakan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana merompak beg silang mengandungi dua telefon bimbit yang dipakai seorang remaja, pada November tahun lepas. 

Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi menjatuhkan hukuman itu ke atas M. Nantha Kumar, 36, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut. 

Lelaki itu dituduh merompak satu beg silang mengandungi dua telefon bimbit dan MyKid dibawa seorang remaja berusia 11 tahun pada 5 petang, 26 Nov 2023 di tepi Jalan Pinggir Off Jalan Ipoh, Sentul, di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, Nantha pada hari kejadian menunggang motosikal dan mengatakan dirinya sebagai pegawai polis, telah menahan remaja itu yang sedang menunggang basikal serta meminta beg silang dipakai mangsa lalu melarikan diri bersama beg itu.

Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif memohon hukuman setimpal manakala Nantha yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan