AM

SARAWAK PERLUKAN RM17 BILION NAIK TARAF FASILITI KESIHATAN

08/06/2024 08:42 PM

SEMATAN (Sarawak), 8 Jun (Bernama) -- Sarawak memerlukan RM17 bilion untuk menaik taraf fasiliti kesihatan di negeri ini secara berperingkat dan komprehensif, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni. 

Beliau berkata pada ketika ini, sejumlah 206 Klinik Kesihatan (KK) di Sarawak dikenal pasti sebagai klinik daif dengan 39 daripada jumlah itu telah mendapat kelulusan peruntukan RM19 juta untuk dinaik taraf bagi tahun semasa.

“Ini (RM17 bilion) merupakan angka yang dikemukakan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) oleh kerajaan Sarawak dan ia bukan sahaja menggantikan klinik tapi keseluruhan fasiliti kesihatan kita di Sarawak.

“Ia sangat besar dan melibatkan beberapa siri Rancangan Malaysia sebenarnya, kita ada senarai keutamaan (mengikut keperluan) contohnya pembinaan Klinik Kesihatan Biawak, Lundu yang memerlukan penumpuan sebab ia berdekatan dengan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Siri Satu dan Sambutan Hari Denggi ASEAN Bahagian Kuching oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, di Kampung Pueh di sini.

Lukanisman berkata turut memerlukan naik taraf ialah kuarters atau kediaman warga Kementerian Kesihatan (KKM) khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman. 

Selain itu katanya beberapa klinik daif yang tersenarai untuk dinaik taraf tahun ini seperti KK Singai, Bau memerlukan kos yang lebih besar kerana perlu diroboh dan dibina semula.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pembinaan Hospital Petra Jaya di Kuching kini berada pada tahap lebih 70 peratus dan bakal beroperasi sepenuhnya menjelang Ogos 2025.

“Untuk bangunkan hospital ini kita tak boleh terburu-buru, tak sama seperti bangunkan sekolah kerana melibatkan isu teknikal, tetapi perkembangan berjalan lancar dan dalam tahun ini kerja pembinaan akan capai lebih 80 peratus,” katanya. 

Sementara itu, Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat antara lain bertujuan membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat dan menyediakan persekitaran yang menyokong kesejahteraan kesihatan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan