AM

Japen Jalin Kerjasama Strategik Dengan Mcmc, Perkasa Komuniti Madani

09/06/2024 09:31 PM

BACHOK, 8 Jun (Bernama) -- Jabatan Penerangan (JaPen) akan bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam memperkasakan Komuniti MADANI sejajar dengan perencanaan semula Pusat Ekonomi Digital (PEDi) sebagai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Ketua Pengarah JaPen Julina Johan berkata sehingga kini terdapat sebanyak 1,878 Komuniti MADANI di seluruh negara termasuk 135 di Kelantan.

Beliau berkata pihak Komuniti MADANI akan terus menjalinkan kerjasama strategik dengan MCMC melalui kewujudan NADI, malah diharapkan menjadi platform kepada semua pihak untuk memperkasakan komuniti.

“Sebenarnya idea (kerjasama) ini dizahirkan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil apabila dia nampak ada keperluan kerjasama strategik dengan adanya NADI iaitu satu produk MCMC kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jiwa Komuniti MADANI di Kampung Wakaf Aik, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Julina berkata kesemua JaPen di negeri-negeri lain juga disarankan agar turut menjalinkan kerjasama dengan MCMC khususnya NADI dan tidak hanya di Kelantan sahaja.

“Alhamdulillah, apa yang saya lihat setakat ini kerjasama antara Komuniti MADANI dan NADI di semua kawasan begitu baik terutamanya dalam membantu masyarakat setempat mempelajari dan memperolehi maklumat yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“JaPen dalam keadaan apapun sentiasa bersedia menerima idea-idea baru untuk kebaikan semua komuniti dan berharap kerjasama antara JaPen dan MCMC ini akan menghasilkan sesuatu yang bermakna kepada komuniti,” katanya.

Sementara itu, wakil MCMC Padhli Mohd Yusof berkata setakat ini ada 72 buah NADI di Kelantan berbanding 911 di seluruh negara.

Menurutnya, jumlah itu dijangka bertambah dengan perancangan daripada kerajaan agar dibina satu NADI di setiap Dewan Undangan Negeri di seluruh negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan