EKONOMI

LIPUTAN 5G MAJUKAN EKONOMI USAHAWAN, BANTU PASARKAN PRODUK SECARA DIGITAL

08/06/2024 06:36 PM

KUALA TERENGGANU, 8 Jun (Bernama) -- Capaian rangkaian 5G akan membantu lebih banyak usahawan memasarkan produk mereka secara digital pada skala yang besar sekali gus meningkatkan tahap ekonomi golongan itu.

Naib Presiden Kanan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Amiruddin Abdul Shukor berkata pihaknya bagaimanapun maklum bahawa liputan itu hanya mencapai 85 peratus di seluruh negara buat masa ini.

"Memang betul ada kawasan yang belum lagi capai 5G tapi kerajaan melalui Digital Nasional Berhad di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa berusaha untuk pastikan negara mencapai 100 peratus liputan 5G.

"Sebab 5G ini memang membantu usahawan dalam bidang teknologi untuk memasarkan produk mereka dengan lebih luas pada kelajuan yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke program Jelajah Saya Digital (JSD) @ Kuala Terengganu, di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata menerusi JSD pihaknya telah menyantuni lebih 560,000 usahawan sejak ia mula dilancarkan pada 2015.

JSD menumpukan kepada empat teras utama iaitu Saya Digital Literasi, Perniagaan, Pendapatan dan Modal Insan bertujuan mewujudkan kesedaran tentang kepentingan teknologi digital dan penyelesaian gaya hidup pintar kepada rakyat bandar dan luar bandar terutamanya usahawan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan