AM

FAHAMI HIKMAH DI SEBALIK IBADAH HAJI - KETUA PAKAR RUJUK TH

09/06/2024 10:47 AM
Daripada Noor Shamsiah Mohamed @ Ismail

MAKKAH, 9 Jun (Bernama) -- Haji bukan semata-mata mengunjungi Baitullah pada waktu tertentu untuk melakukan ibadah khusus, namun mempunyai maksud yang lebih luas dan perlu difahami serta dihayati oleh semua jemaah.

Ketua Pakar Rujuk Tabung Haji Prof Madya Dr Anhar Opir berkata rukun Islam kelima itu mampu menghasilkan kesan positif dan membentuk akhlak yang lebih baik jika individu memahami maksud di sebalik setiap rukun serta perkara wajib haji. 

“Kita ambil salah satu contoh daripada perkara yang perlu dilakukan dalam ibadah haji, iaitu pantang larang ketika berihram, jika kita melanggarnya maka akan dikenakan dam. Namun ada yang takut nak tunaikan haji atau umrah disebabkan perkata itu.

 “Sebenarnya jika dihayati perkara ini, ibadah haji membantu seseorang itu menjadi lebih berakhlak dan berdisplin, kerana ketika berihram seseorang itu tidak boleh memburu binatang, tidak boleh mencabut bulu, tidak boleh pakai pakaian berjahit bagi lelaki dan lain-lain lagi.

“Ini bermakna dalam kehidupan kita seharian, ada sempadan bagi setiap perbuatan yang hendak kita lakukan,” katanya kepada petugas media di Ibu Pejabat Tabung Haji di sini baru-baru ini.

Selain itu, Anhar yang juga Mufti Selangor berkata seseorang jemaah perlu bijak merebut seberapa banyak pahala dan fadilat sepanjang berada di Tanah Suci, bukan hanya melakukan ibadah-ibadah khusus tetapi juga amal soleh yang lain seperti membantu orang, bersedekah dan memberi ucapan salam.

Beliau turut mengingatkan setiap jemaah agar menanamkan sifat sabar dalam menghadapi lautan manusia dan ketidakselesaan terutama semasa hari-hari kemuncak haji di Masyair nanti.

“Haji dan kehidupan memerlukan usaha serta kesabaran. Kita kena jaga mulut kita seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT bahawa siapa yang mewajibkan dirinya melakukan ibadah haji dan berihram, maka janganlah sebut perkataan yang lucah, jangan melakukan maksiat, jangan berbantah-bantah, marah orang atau hilang sabar.

“Dengan jumlah tiga juta umat Islam, semua orang berhimpun beribadah di tempat yang sama. Ini sepatutnya membuatkan kita semakin bersemangat berukhuwah dan bersabar dengan orang lain kerana inilah muktamar terbesar umat Islam.

 “Kalau kita gagal untuk bertolak ansur, masih mementingkan diri sendiri, maknanya kita gagal untuk menghayati roh ibadah haji itu sendiri,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan