AM

TIMBALAN PERDANA MENTERI NEW ZEALAND TAMAT LAWATAN KERJA, BERLEPAS KE MANILA

09/06/2024 11:36 AM

SEPANG, 9 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar New Zealand Winston Peters berlepas ke Filipina hari ini selepas menamatkan lawatan kerja empat harinya ke Malaysia. 

Republik itu akan menjadi persinggahan ketiga Peters dalam empat lawatannya ke negara-negara Asia Tenggara selepas Vietnam dan Malaysia, lawatan yang mencerminkan dasar-dasar New Zealand yang mengutamakan kerjasama dengan negara-negara di rantau sedang membangun yang dinamik.

Penerbangan Malaysia Airlines MH 704 yang membawa Peters dan delegasinya berlepas dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini pada pukul 10.07 pagi. 

Turut hadir semasa pelepasan itu ialah setiausaha bahagian Kementerian Luar Negeri Kemboja-Laos-Myanmar-Vietnam (CLMV) dan Oceania Ismail Mohamad Bkri. 

Semasa lawatan itu, Peters mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat, yang menyaksikan kedua-dua pemimpin menyatakan komitmen Malaysia dan New Zealand untuk mengukuhkan dan mengembangkan lagi kerjasama dua hala, terutamanya dalam peralihan tenaga, perdagangan dan pelaburan, pendidikan, dan sektor pertahanan.

Semalam, Peters meluangkan masa kira-kira 20 minit untuk melawat Masjid Negara bagi meninjau reka bentuk serta sejarah penubuhannya, di samping melihat program-program yang disediakan oleh masjid itu.

Malaysia dan New Zealand memulakan hubungan diplomatik pada 25 Sept 1957 dan sejak itu hubungan antara kedua-dua negara terus kukuh dan stabil.

Malaysia secara konsisten menyambut baik kehadiran pelancong yang semakin meningkat dari New Zealand setiap tahun, dengan 18,238 pelancong melawat negara pada 2022. Selain itu 17,000 rakyat Malaysia ketika ini menetap di New Zealand.

Di rantau Pasifik, Malaysia merupakan rakan dagangan kedua terbesar New Zealand, dengan jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah RM6.32 bilion (US$1.42 bilion) setakat Jun 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan