AM

MALAYSIA MILIKI POTENSI JADI NEGARA KUASA BESAR EKONOMI DI RANTAU INI - PM ANWAR

25/06/2024 09:02 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Malaysia memiliki potensi luas untuk muncul sebagai negara kuasa besar ekonomi di rantau ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar ketika bercakap pada majlis makan tengah hari mesyuarat agung ke-47 Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (Amcham) menegaskan Malaysia mesti kekal sebagai negara perdagangan dan terbuka kepada pelaburan.

“Kami menyatakan dengan sangat jelas kerajaan akan menyokong pelaburan dari luar negara, terutama dari Amerika Syarikat (AS),” kata beliau merujuk kepada isu domestik berkaitan dengan BlackRock.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan sedang menangani isu kesediaan bagi melaksanakan langkah yang perlu untuk memastikan Malaysia kekal berdaya saing dan terus berkembang.

“Kami mempunyai tenaga kerja, infrastruktur dan ekosistem semikonduktor, dan kini kami giat mempercepat isu peralihan tenaga, di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak,” kata beliau.

Beliau berkata Pulau Pinang merupakan contoh terbaik mengenai pelaburan daripada pelabur asing yang telah banyak memberi manfaat kepada ekonomi negara ini.

Perdana Menteri berkata kelebihan itu dapat dilihat melalui pemindahan teknologi, latihan dan penubuhan pusat kecemerlangan.

“Dari peringkat awal lagi...Intel Corporation contohnya, menggunakan Pulau Pinang sebagai pangkalan mereka dan kini, Pulau Pinang telah muncul sebagai antara pusat utama bagi semikonduktor di negara ini, bagi proses bahagian belakang dan bahagian depan.

“Oleh itu, (saya) di sini mengakuinya secara peribadi dan terima kasih atas keyakinan anda dan (kami akan) memberikan semua sokongan dan bantuan yang diperlukan untuk memudahkan (dan) kami akan mempercepat (proses pelaburan),” kata beliau.

Anwar berkata walaupun terdapat peningkatan pelaburan dari Eropah, khususnya Jerman dan Netherlands dan juga China namun, secara kumulatif AS merupakan pelabur terbesar di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan