AM

Mangsa Kemalangan Bas Tidak Sempat Merasa Pencen 7 Julai Ini

09/06/2024 07:09 PM

KUANTAN, 9 Jun (Bernama) -- Anak sulung kepada pembantu operasi sekolah yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Kuantan – Segamat awal pagi tadi, tidak menyangka rombongan yang diikuti bapanya itu menjadi aktiviti terakhir sebelum bersara wajib pada Julai ini.

Siti Zulaikha Hamzah, 25, berkata ayahnya, Hamzah Ahmad, 60, yang akan mula berpencen pada 7 Julai selepas berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Jeram, Masjid Tanah, Melaka lebih 20 tahun, pada awalnya enggan mengikuti rombongan ke Terengganu itu.

“Kalau ikutkan, ayah tak nak ikut rombongan sebab ayah memang payah nak pegi jauh. Tapi kawan-kawan ayah ajak sebab dia pun dah nak pencen, dia ikut juga pergi bersama,” katanya kepada media ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.

Siti Zulaikha yang kelihatan sugul berkata ayahnya juga berubah menjadi amat pendiam beberapa hari sebelum menyertai rombongan berkenaan.

Hamzah yang meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HTAA akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Londang, Masjid Tanah selepas selesai proses bedah siasat. 

Selain Hamzah, dua lagi yang terkorban dalam nahas membabitkan sebuah bas persiaran dan treler itu ialah Penolong Kanan di sekolah berkenaan Hasnatul Adilah Hassan, 48, maut di tempat kejadian, manakala pemandu kedua bas itu Hadi Asyraf Mad Idris, 29, meninggal dunia semasa dibawa ke hospital.

Sementara 36 lagi cedera dalam kemalangan itu yang berlaku berhampiran simpang tiga Bahau di sini.

Bas yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.

Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa guru dari Sekolah Kebangsaan Jeram, Masjid Tanah bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan