AM

Operasi Mencari Dan Menyelamat Mangsa Dihanyutkan Arus Deras Disambung Esok

28/09/2024 08:12 PM

KUALA NERANG, 28 Sept (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat seorang wanita yang dihanyutkan arus deras di Kampung Tanjung Kanan ditangguh pada 7 malam ini dan akan bersambung semula 7 pagi esok.

Ketua Polis Daerah Padang Terap DSP Mulkiaman Manzar berkata ia berikutan keadaan gelap dan cuaca mendung yang dikhuatiri menyukarkan operasi.

“Bagaimanapun, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan berada di lokasi untuk memantau paras air serta meninjau kawasan terbabit.

“Kita jangka paras air akan terus surut sekiranya tidak hujan malam ini dan mangsa mungkin dapat ditemukan,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata operasi esok akan tertumpu di lokasi mayat Muhammad Rosman Rohadi, 19, ditemukan pada 5.25 petang tadi, kira-kira 150 meter dari tempat remaja kurang upaya itu dilihat dihanyutkan.

Sementara ibunya, Salmah Mat Zain, 46, belum ditemukan setakat ini.

Dua beranak itu dihanyutkan arus deras banjir pada kira-kira 8 pagi tadi ketika cuba menyeberang untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Tanjung Kanan dekat sini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan