AM

CADANGAN KENAIKAN HARGA SILING BPT JANGKA DIMUKTAMAD OKTOBER INI

10/06/2024 01:26 PM

SERDANG, 10 Jun (Bernama) -- Cadangan kenaikan harga siling beras putih tempatan (BPT) dijangka dimuktamad sebelum Oktober tahun ini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata cadangan berkenaan masih dalam perbincangan melibatkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan beberapa kementerian berkaitan dan sedang menuju kepada penyelesaian akhir.

“Sebelum Oktober. Tidak lama dah. (Cadangan) masih di peringkat perbincangan dan sebarang perubahan harga (BPT) dan sebagainya itu perbincangannya melibatkan empat hingga lima kementerian.

“Bukan hanya KPKM tetapi Kementerian Ekonomi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan beberapa kementerian lain,” katanya ketika diminta mengulas mengenai bila cadangan itu akan dimuktamadkan pada sidang media di sini hari ini.

Pada November tahun lepas, Badan Kawal Selia Padi dan Beras mendapati harga siling BPT wajar dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram berbanding RM2.60 sekilogram ketika ini.

Terdahulu, beliau melancarkan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 bertemakan ‘Menuai Harapan Membina Masa Hadapan’ yang akan diadakan pada 11 hingga 22 Sept di Taman Expo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.

Mengenai kes jangkitan selesema burung di luar negara akibat terdedah kepada lembu yang dijangkiti, beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memantau rapi kemasukan bekalan makanan ke negara ini .

“Mana-mana tempat dijangkiti penyakit flu atau apa-apa virus, pihak DVS akan membuat tindakan cepat menasihatkan kepada kementerian untuk tidak boleh diimport ternakan dan sebagainya ,” katanya. 

Media melaporkan seorang pekerja tenusu Amerika Syarikat (AS) disahkan mangsa ketiga positif selesema burung selepas terdedah kepada lembu yang dijangkiti dan yang pertama mengalami masalah pernafasan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan