AM

MAHA 2024 SAJI PAMERAN INTERAKTIF, TARIK PENYERTAAN GOLONGAN MUDA

10/06/2024 03:24 PM

SERDANG, 10 Jun (Bernama) -- Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 pada Sept ini bakal menyajikan pameran bersifat interaktif dalam sektor keterjaminan makanan yang mampu menarik penyertaan golongan muda. 

MAHA 2024 yang akan berlangsung di Taman Expo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini pada 11 hingga 22 Sept ini bertemakan ‘Menuai Harapan Membina Masa Hadapan’ amat dinanti segenap lapisan masyarakat kerana membawa elemen teknologi terkini sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara.

Ketua Sekretariat MAHA 2024 Zurihanmi Zakariya berkata ketika ini, kira-kira 60 peratus persediaan sudah dilaksanakan bagi memastikan penganjuran MAHA 2024 mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan.

MAHA 2024 kali ini menampilkan segmen baharu untuk menarik pengunjung khususnya golongan muda iaitu ‘Magical at Night and 3D Water Show’ serta 'Kid Attraction'.

“Kita juga sedang muktamadkan karakter kartun terkenal tanah air untuk dibawa sepanjang tempoh MAHA 2024 berlangsung,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran MAHA 2024 oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu di sini hari ini.

Mohamad hari ini menetapkan KPI untuk MAHA 2024 iaitu sasaran memperoleh kira-kira RM6 bilion nilai perjanjian persefahaman serta RM40 juta nilai jualan langsung dan kehadiran tiga juta pengunjung memandangkan diadakan ketika cuti persekolahan.

Zurihanmi berkata turut menjadi tumpuan ialah MAHA Go Global kerana pameran kali ini memberikan peluang kepada lebih 180 syarikat luar negara berkaitan teknologi pertanian berkongsi kepakaran.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) ketika ini memperkasa aktiviti mempromosi MAHA 2024 kepada kumpulan sasar antaranya menerusi program MAHA Fun Run 2024 dengan kehadiran lebih 1,000 peserta semalam, Karnival Sambutan Setahun Program Jualan Agro MADANI dan "Mini Rhytym Of The Farmers".

Sebelum ini, MAHA 2022 merekodkan kehadiran lebih satu juta pengunjung dengan 33 Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) bernilai RM5.64 bilion ditandatangani.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan