AM

KPKM RANCANG JADIKAN ORANG ASLI PENGGERAK TANAMAN DURIAN BERSKALA BESAR - MOHAMAD

21/06/2024 04:37 PM

GERIK, 21 Jun (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam perancangan menjadikan masyarakat Orang Asli sebagai antara penggerak utama bagi penanaman durian berskala besar di negara ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ia berikutan terdapat banyak lokasi berdekatan kediaman mereka yang berpotensi dibangunkan sebagai kawasan penanaman durian berkualiti serta mampu menembusi pasaran luar negara, khususnya di China.

“Perkara ini akan dibincangkan di peringkat kementerian dan jabatan (pertanian) bersama Orang Asli terlibat supaya pelbagai masalah termasuk serangan haiwan liar seperti gajah dapat diperincikan dengan lebih lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Walkabout di Dewan Terbuka Kampung Sungai Raba, Pengkalan Hulu di sini hari ini yang turut disertai Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pembangunan Industri dan Pengembangan) Johari Abdullah dan Pengarah Pertanian Perak Norsiyenti Othman.

Semalam, Bernama melaporkan Mohamad berkata semua pengusaha durian tempatan khususnya golongan bumiputera perlu memulakan penanaman buah berkenaan dalam skala besar bagi membolehkan ia dipasarkan ke China antara lima hingga enam tahun lagi.

Mohamad memaklumkan bahawa usaha itu perlu dimulakan dari sekarang susulan pemeteraian Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China pada 19 Jun.

Sementara itu, Mohamad berkata KPKM juga akan bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi memastikan peruntukan dapat disalurkan kepada masyarakat Orang Asli yang berminat untuk mengusahakan tanaman tersebut.

“Kita tak bergerak sendirian dan dari sudut tenaga serta bajet (peruntukan) itu akan kita gabungkan bersama KKDW bagi memastikan penanaman ini dapat dibangunkan,” katanya.

Beliau berkata selain durian, pihaknya turut menggalakkan masyarakat Orang Asli supaya melibatkan diri secara aktif dalam bidang pertanian yang berorientasikan kepada tanaman kontan untuk menjana pendapatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan