AM

KETUA JABATAN DI BAWAH KEMENTERIAN KOMUNIKASI PERLU ELAK RASUAH, KETIRISAN - FAHMI

10/06/2024 04:54 PM

PENAMPANG, 10 Jun (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengingatkan ketua jabatan di bawah kementerian berkenaan agar sentiasa mengelakkan sebarang kesalahan rasuah dan ketirisan.

Beliau berkata mereka juga berperanan memastikan produktiviti jabatan ditingkatkan dan setiap tanggungjawab yang diamanahkan dilaksana termasuk oleh anak buah masing-masing kerana penjawat awam akan menikmati kenaikan gaji pada 1 Dis ini.

"Pagi tadi, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ada menyebut dalam perhimpunan bulanan di Jabatan Perdana Menteri bahawa mana-mana ketua jabatan yang ada anak-anak buahnya terlibat dalam isu rasuah maka ada kesan kepada prestasi rekod ketua jabatan.

"Ini juga adalah pesanan untuk diri saya dan ketua jabatan. Kita mesti usaha untuk mengelakkan masalah seperti rasuah dan ketirisan daripada berlaku," katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Komunikasi bagi Zon Sabah dan Labuan yang menyaksikan 69 petugas menerima anugerah masing-masing.

Fahmi turut menasihati semua petugas supaya mengutamakan aspek kesihatan dengan sentiasa membuat pemeriksaan dan mengamalkan pemakanan sihat bagi memastikan mereka memiliki kesihatan optimum selain bebas daripada sebarang penyakit seperti sakit jantung serta kencing manis.

"Kita perlu memastikan keseimbangan kehidupan bekerja. Kerja memang kerja tetapi sekali sekala bersantai itu juga penting," katanya.

Beliau juga mahu ketua jabatan cakna serta prihatin terhadap aspek kesihatan mental setiap petugas dengan mewujudkan suasana memberi sokongan di tempat kerja.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan