AM

KES PENIPUAN TANAH RIZAB MELAYU: SAARANI SEDIA BERI KERJASAMA KEPADA SPRM

10/06/2024 05:21 PM

MANJUNG, 10 Jun (Bernama) -- Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad sedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya dipanggil berhubung kes penipuan status tanah rizab Melayu seluas lebih 600 hektar pada 2012.

Saarani berkata setakat ini beliau tidak menerima sebarang panggilan daripada SPRM berkaitan kes itu.

“Tiada masalah (beri kerjasama)…kalau SPRM panggil untuk beri keterangan, kita beri keterangan.

“Bermula 2004 saya jadi Exco kerajaan negeri, terhenti sekejap 2008, sambung balik 2009 hingga 2018. Kalau (kes) berlaku dalam tempoh itu, kalau nak panggil saya, saya bersedia untuk beri kerjasama kepada SPRM,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Kedua Perak Sejahtera 2030 di sini hari ini.

Saarani sebelum ini pernah memegang beberapa portfolio antaranya Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Perladangan; Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Modal Insan serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna. 

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata suruhanjaya itu berkemungkinan memanggil beberapa lagi saksi untuk memberi keterangan berhubung kes penipuan status tanah rizab Melayu berkenaan.

Azam berkata saksi-saksi berkenaan termasuk bekas Exco kerajaan negeri dan petugas Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak dalam perkhidmatan ketika itu.

Pada 30 April lepas, bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik PTG Perak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Ipoh atas tuduhan menipu status tanah rizab Melayu seluas 649.2 hektar di Mukim Sitiawan, Manjung, 12 tahun lalu.

Pada 28 Mei, seorang pengarah urusan sebuah syarikat hartanah ditahan SPRM dan direman selama tiga hari berkaitan kes berkenaan namun dibebaskan pada 30 Mei.

Sementara itu ditanya berkenaan status serta usaha kerajaan negeri terhadap tanah tersebut, Saarani berkata tanah itu masih berstatus rizab Melayu, tetapi dimiliki syarikat bukan Melayu.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan