AM

NAHAS BAS ROMPIN: OPERASI SK JERAM, MASJID TANAH, MELAKA TIDAK TERJEJAS

10/06/2024 08:42 PM

KUANTAN, 10 Jun (Bernama) -- Operasi Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka tidak akan terjejas dan berjalan seperti biasa esok susulan beberapa guru terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat, Rompin awal pagi semalam, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Beliau berkata bagi tujuan itu, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah telah memberikan bantuan kepada sekolah berkenaan bagi pengaturan jadual masa supaya proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar. 

“Operasi sekolah tidak ada masalah. Pihak PPD telah pun membantu pihak sekolah untuk memastikan segala operasi berjalan lancar. Mengenai guru ganti dari sekolah lain, pihak PPD akan uruskan. Beri sedikit ruang kepada PPD untuk uruskan yang terbaik buat sekolah,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media selepas menziarahi guru yang terlibat dalam kemalangan tersebut di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan di sini hari ini. 

Ketika ditanya sama ada pihak Kementerian Pendidikan (KPM) akan menilai kembali aktiviti luar yang membabitkan sekolah, beliau berkata: “Kita akan komen kemudian berkaitan dengan itu”.

Setakat ini seramai lima mangsa kemalangan itu masih dirawat di HTAA iaitu empat guru di wad biasa manakala seorang daripadanya di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta seorang anggota kumpulan pelaksana di wad biasa

Sementara selebihnya yang sebelum ini dirawat di Rompin, Johor, Melaka serta pusat perubatan swasta telah dibenarkan keluar. 

Dalam pada itu, Wong berkata pasukan kaunseling Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang dan Melaka serta PPD Alor Gajah juga telah bertemu dengan guru dan murid yang terlibat untuk memberikan sokongan psikososial bagi memastikan kestabilan emosi mereka. 

“Selepas kejadian ini, pihak KPM, JPN Negeri Pahang dan Melaka serta PPD telah pun melawat cikgu terbabit sama ada di hospital ataupun di rumah. Pihak KPM, JPN dan PPD bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada cikgu yang terbabit,” katanya. 

Dalam nahas jalan raya awal pagi semalam, empat maut manakala 35 cedera selepas bas persiaran yang dalam perjalanan membawa rombongan SK Jeram, Masjid Tanah, Melaka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras terbabit dalam kemalangan.

Mangsa yang maut ialah Penolong Kanan SK Jeram Hasnatul Adilah Hassan, 48, pemandu kedua bas Hadi Asyraf Mad Idris, 29, pembantu operasi sekolah Hamzah Ahmad, 60, dan guru Dahlia Ahmad, 52.

Difahamkan bas yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu itu, 22 darinya adalah guru, dilaporkan terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan merempuh sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan