AM

CLQ PERTAMA DI MELAKA I-ASRAMA SIAP DIBINA DI AYER KEROH

10/06/2024 11:24 PM

MELAKA, 10 Jun (Bernama) -- Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) pertama di Melaka dikenali sebagai i-Asrama yang dilengkapi pelbagai kemudahan asas siap dibina di Eco Park Ayer Keroh di sini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata bangunan asrama pekerja yang berkonsepkan pangsapuri itu mendapat kelulusan Certificate of Completion and Compliance (CCC) pada 7 Jun lepas dan bangunan berkenaan dijangka mampu menyediakan ruang penginapan untuk 3,264 pekerja asing khususnya di Melaka Tengah. 

Beliau berkata i-Asrama Eco Park merupakan dua blok bangunan asrama pekerja sembilan tingkat dengan membabitkan 272 unit asrama pekerja yang berkonsepkan pembangunan mampan dan dilengkapi teknologi pengecaman muka. 

"Inisiatif seumpama ini secara tidak langsung menyokong hasrat kerajaan negeri bagi merealisasikan perancangan membina 40 CLQ di sekitar negeri ini bagi menampung kapasiti pekerja asing tercapai. 

"Pembinaan CLQ ini merupakan kaedah penyelesaian jangka panjang untuk memastikan kawalan dan penginapan yang kondusif di samping mewujudkan persekitaran tempat tinggal selamat, bersih dan sistematik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan i-Asrama @ Ayer Keroh yang turut dihadiri Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem.

Ab Rauf berkata CLQ berkenaan juga merupakan yang pertama di Malaysia dengan Pensijilan Bangunan Hijau: Gold Project GreenRE.  

Beliau berkata pembinaan lebih banyak CLQ di negeri itu pada masa hadapan merupakan langkah proaktif untuk memberi tumpuan dan sokongan kepada pihak swasta membangunkan sektor perindustrian, khususnya industri berteknologi tinggi bagi menarik lebih banyak kemasukan pelabur sekali gus meningkatkan permintaan dalam ekosistem pelaburan di negeri itu.

Sementara itu, katanya kerajaan negeri tidak akan mengeluarkan sijil Penginapan Pekerja Secara Jangka Pendek (TLQ) menjelang 2026 kerana semua pekerja  asing perlu ditempatkan di CLQ yang dibina selaras dengan Akta 446.

"Saya ingin mengingatkan kepada syarikat atau pemaju yang masih menggunakan tempat kediaman asrama pekerja misalnya di taman perumahan atau rumah kedai di bawah kelulusan TLQ kerana ia hanyalah alternatif sementara sebelum pekerja asing dipindahkan ke CLQ. 

"Sebelum ini, kerajaan negeri menggesa pekerja asing dipindahkan ke kawasan yang berkemudahan pada hujung April tahun ini, tetapi banyak lagi majikan belum bersedia, jadi kita tangguhkan hingga awal 2025 untuk berpindah ke CLQ ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan