AM

MEMUPUK GENERASI PEKA DAN BIJAK TENAGA DI GREEN GUARDIAN CENTRE PUSAT SAINS NEGARA

11/06/2024 02:03 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Pelancaran pameran interaktif Green Guardian Centre di Pusat Sains Negara menyasarkan untuk memupuk generasi muda supaya memahami dan mengguna tenaga secara bijak sekali gus mendukung Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) demi kehidupan lebih sejahtera.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata menerusi pameran interaktif yang mula beroperasi hujung tahun lepas itu, pelbagai produk pandang dengar sebagai bahan pendidikan, dipersembahkan dalam bentuk mudah difahami yang sesuai dengan generasi muda khususnya pelajar sekolah rendah dan menengah rendah.

"Green Guardian Centre ini ialah (usaha) di bawah program Malaysia Energy Literacy Program (MELP) dan melalui MELP ini, sasaran kita adalah untuk menyediakan akses dan juga maklumat kepada orang ramai mengenai pemahaman kepada tenaga. 

"... ini juga sebahagian usaha untuk membantu golongan muda ini lebih memahami konsep tenaga yang ada pada hari ini," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Kesedaran dan Peka Tenaga di sini hari ini. 

Beliau berkata pameran interaktif itu dijangka beroperasi sehingga hujung tahun depan di Pusat Sains Negara dan kira-kira 63,000 pengunjung mengunjungi pusat berkenaan sepanjang cuti sekolah selama seminggu bermula 24 Mei lepas.

Green Guardian Centre ialah inisiatif Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Yayasan Hijau Malaysia dan antara program MELP yang memberi akses kepada orang ramai terhadap ilmu kecekapan tenaga, tenaga boleh baharu dan penjanaan tenaga.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menjadikan MELP yang diasaskan TNB pada hujung 2020 sebagai agenda nasional dengan mengembleng kerjasama kementerian dan agensi berkaitan bagi membangunkan masyarakat yang peka tenaga.

Akmal Nasrullah berkata Jawatankuasa Pemandu MELP yang disertai Suruhanjaya Tenaga (ST), Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), TNB, Malaysian Green Technology Corporation (MGTC), Yayasan Hijau Malaysia, MyPower dan agensi-agensi berkaitan ditubuh untuk melaksanakan program di bawah inisiatif itu dengan lebih bersepadu serta menyeluruh.

Beliau berkata jawatankuasa berkenaan turut bercadang mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak Kementerian Pendidikan (KPM) bagi meneliti langkah membantu pemahaman dari segi penggunaan tenaga dalam kalangan pelajar.

Sementara itu, Ketua Pegawai TNB Global Business Solutions (TGBS) Datuk Ahmad Hushairi Ibrahim berkata inisiatif peka tenaga dengan kerjasama Yayasan Hijau di Green Guardian ini menjadi satu lagi platform mengetengahkan MELP kepada masyarakat, khususnya kepada anak-anak yang bakal mewarisi kehidupan masa depan. 

"(Pameran ini) meliputi pengetahuan mengenai kecekapan tenaga, Tenaga Boleh Baharu (TBB) dan penjanaan tenaga. Semoga kaedah ini dapat membantu perubahan pemikiran serta membentuk sikap bijak tenaga generasi masa depan... rakyat yang peka dan bijak tenaga boleh menyumbang kepada kejayaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) seiring sasaran negara neutral karbon menjelang 2050," katanya.

Beliau berkata syarikat utiliti itu akan berusaha mempercepat Peralihan Tenaga secara bertanggungjawab dalam menuju sifar bersih dengan menetapkan pengurangan 35 peratus intensiti pelepasan karbon dan 50 peratus kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan