AM

MEDIA DIGESA BERUSAHA SEBAIK MUNGKIN SAMPAIKAN MAKLUMAT BENAR KEPADA MASYARAKAT DUNIA

11/06/2024 07:01 PM

MAKKAH, 11 Jun (Bernama) -- Organisasi media di seluruh dunia perlu melaksanakan peranannya sebaik mungkin dengan berusaha bersungguh-sungguh dalam menyalurkan maklumat benar kepada masyarakat antarabangsa dan mengelak daripada menyampaikan sesuatu yang tidak pasti.

Presiden Agensi Berita Arab Saudi (SPA) Dr Fahd bin Hassan al Aqran berkata organisasi media terutama agensi berita perlu menjadi sumber terbaik khususnya kepada umat Islam dalam memastikan maklumat yang disampaikan adalah sahih.

"Orang Islam wujud di seluruh dunia, oleh itu sebagai media kita boleh menyuarakan pendapat, perasaan dan keperluan mereka terutama umat Islam minoriti yang berada di negara tertentu.

"Ini menjadi tanggungjawab kita sebagai orang Islam… sebagai media sama ada dari Qatar atau Malaysia mahupun negara lain,” katanya.

Fahd berkata demikian kepada pemberita semasa berkunjung ke Hab Media Haji semalam selepas beramah mesra dengan wartawan antarabangsa yang membuat liputan tahun ini atas jemputan SPA.

Beliau turut menyifatkan liputan oleh rakan media jemputan pada musim haji kali ini sebagai satu khidmat mulia kepada umat Islam di seluruh dunia.

"Ia juga satu peluang bagi anda semua menginfakkan pekerjaan anda sebagai saluran media untuk memberi liputan terbaik buat bakal jemaah haji musim ini,"katanya.

Fahd juga mendoakan agar rakan media SPA dapat menunaikan ibadah itu dengan sempurna dan mencapai haji mabrur.

Sejumlah 21 wartawan dan jurugambar agensi berita dari 10 negara telah dijemput oleh SPA untuk membuat liputan media pada musim haji tahun ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan