JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TAHAN DUA LELAKI DISYAKI TERLIBAT KES RAGUT DI KESAS

26/06/2024 07:17 PM

SHAH ALAM, 26 Jun (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian cubaan meragut barangan berharga milik seorang wanita di Lebuhraya KESAS semalam yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata suspek berusia 33 dan 32 tahun yang masing-masing bekerja sebagai pencuci kereta dan pembantu kedai makan itu ditahan pada 1.30 hingga 3 pagi tadi di sekitar Klang susulan laporan yang diterima.

Beliau berkata polis menerima laporan daripada mangsa berumur 58 tahun pada 8.35 pagi semalam yang mendakwa diragut semasa berhenti di tepi jalan ekoran kereta yang dinaikinya mengalami kerosakan sekitar 7 pagi.

"Menurut mangsa, kedua-dua suspek pada mulanya berhenti bersebelahan keretanya sambil berpura-pura bertanyakan sesuatu dan menawarkan diri untuk membantu mangsa sebelum secara tiba-tiba seorang daripada suspek bertindak mengambil dompet yang berada di dalam beg silang yang dipegang oleh mangsa.

Mangsa kemudiannya bertindak menangkap tangan suspek yang memboceng motosikal tetapi tindakan tersebut menyebabkan mangsa terseret di atas jalan raya hingga cedera,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Iqbal berkata kejadian itu telah terakam di  'dashcam' kereta salah seorang pengguna jalan raya yang secara kebetulan melalui laluan tersebut. 

Beliau berkata bertindak atas maklumat, pihaknya telah berjaya menangkap dua lelaki tersebut dan menemukan semula barangan yang diragut iaitu kad bank serta lesen memandu kepunyaan mangsa termasuk motosikal yang digunakan semasa kejadian.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, selain mereka juga didapati positif dadah jenis methamphetamine setelah ujian saringan air kencing dilakukan, tambah beliau.

Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua puluh tahun dan denda atau sebat jika disabit kesalahan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan