AM

PRESTASI UUM MENINGKAT DALAM PENARAFAN THE IMPACT RATINGS

12/06/2024 06:25 PM

ALOR SETAR, 12 Jun (Bernama) -- Universiti Utara Malaysia (UUM) mencapai peningkatan ketara dalam Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2024 yang diumumkan hari ini, menerusi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Naib Canselor UUM Prof Dr Mohd Foad Sakdan berkata pada edisi kali ini, UUM mencatatkan peningkatan yang membanggakan dalam prestasi keseluruhan dan terus memperbaiki kedudukan di tempat 301-400 terbaik dunia.

"Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan tahniah dan terima kasih kepada seluruh warga UUM atas kejayaan yang dikecapi ini dan ia adalah usaha gigih secara berterusan dari semua pihak untuk mengharumkan nama universiti di peringkat nasional dan antarabangsa.

"Peningkatan ini adalah hasil usaha gigih UUM dalam memperkukuhkan peranannya sebagai institusi pendidikan yang memberi impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar. Kita bukan sahaja mahu cemerlang dalam akademik, malah turut membantu pelajar-pelajar yang memerlukan dan memberi mereka akses pendidikan yang sempurna," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, THE Impact Rankings 2024 menilai impak universiti di seluruh dunia berdasarkan pencapaian terhadap 17 SDG.

"Secara keseluruhan, UUM berjaya menyerlah dalam lima daripada 17 matlamat SDG iaitu SDG 4 (Kualiti Pendidikan), SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamaan), SDG 11 (Kelestarian Bandar dan Komuniti), SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi Yang Teguh) dan SDG 17 (Kerjasama Demi Matlamat). 

"Daripada lima matlamat yang dicapai itu, UUM berjaya memberikan akses pendidikan yang adil dan saksama kepada semua lapisan masyarakat, termasuk program biasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar dari golongan kurang berkemampuan apabila disenaraikan di kedudukan ke-72 bagi SDG 10," katanya.

Katanya, selain itu, UUM turut menyerlah dalam empat matlamat lagi iaitu SDG 4 di kedudukan (101-200); SDG 11 (201-300); SDG 16 (101-200) dan SDG 17 (201-300).

Prof Dr Mohd Foad berkata pencapaian itu terus mengukuhkan kedudukan UUM sebagai salah satu universiti terkemuka negara dan di arena antarabangsa serta menunjukkan bahawa pendidikan tinggi di Malaysia mampu memberikan impak positif yang signifikan kepada dunia.

THE Impact Rankings 2024 yang dikeluarkan secara tahunan menyaksikan sebanyak 1,963 universiti seluruh dunia disenaraikan bagi penarafan 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan