AM

TAHFIZ PERSENDIRIAN PERLU DAFTAR DENGAN JAIS UNTUK SERTAI PROGRAM PEMUTIHAN - EXCO

12/06/2024 08:35 PM

SHAH ALAM, 12 Jun (Bernama) -- Institusi Tahfiz Persendirian (ITP) di negeri ini diwajibkan mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (PITAS) bagi melayakkan menyertai Program Pemutihan Sekolah Agama ITP Negeri Selangor. 

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata skop pemutihan itu akan hanya melibatkan ITP yang telah dibina dan beroperasi hingga 31 Dis 2023, dengan setakat 31 Mac lepas, sebanyak 724 ITP masih belum berdaftar. 

"Program pemutihan ini akan diselaraskan PITAS yang bertindak sebagai agensi sehenti untuk menyelaras penyediaan dokumentasi permohonan pemutihan dikemukakan ITP dan menerima semua dokumen yang disediakan ITP untuk dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan kelulusan Kebenaran Merancang Tempoh Terhad (KMTT). 

"Tempoh kelulusan KMTT bagi tujuan pemutihan tahfiz persendirian ini adalah minimum tiga tahun dari tarikh kelulusan KMTT diberikan oleh PBT sebelum PITAS mengemukakan permohonan KMTT daripada ITP yang berdaftar kepada PBT, hanya hingga 31 Dis 2025," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata pelaksanaan KMTT bertujuan memberi peluang kepada PBT melaksanakan perancangan semula sesuatu  kawasan di samping memberi ruang kepada pengusaha ataupun tuan tanah untuk menjalankan aktiviti-aktiviti berdasarkan tempoh masa yang telah ditetapkan. 

Menurut Mohammad Fahmi ia juga memberi peluang kepada pengusaha atau tuan tanah untuk  menjalankan aktiviti-aktiviti yang bersifat sementara di atas lot tanah, iaitu zon perancangan guna tanah yang ditetapkan di dalam Rancangan Pemajuan adalah tidak selaras. 

"Pemberian KMTT akan membolehkan PBT untuk mengenakan fi yang sesuai terhadap pembangunan bersifat sementara dan pada masa yang sama, perancangan serta pembangunan bagi sesuatu kawasan dapat dikawal bagi suatu tempoh ditetapkan.

“Pelaksanaan KMTT juga memberi peluang kepada pengusaha dan PBT melalui kaedah perundingan iaitu KMTT antara pengusaha atau tuan tanah dengan PBT," katanya.

Mohammad Fahmi berkata dalam tempoh KMTT, ITP perlu mematuhi syarat-syarat kelulusan yang diberikan oleh PBT dan ketidakpatuhan akan membolehkan PBT menamatkan KMTT pada bila-bila masa. 

"Sebaliknya, bagi ITP yang memenuhi syarat KMTT, ia layak dipertimbangkan untuk Permohonan Kebenaran Merancang Penuh kepada PBT, atau sebagai justifikasi kepada pelanjutan tempoh KMTT sekiranya dimohon oleh pengusaha tahfiz," katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan