AM

33 PENGUNJUNG KOLAM AIR PANAS JASIN DISYAKI DIJANGKITI WABAK LEPTOSPIROSIS

12/06/2024 11:04 PM

MELAKA, 12 Jun (Bernama) -- Sebanyak 33 orang termasuk pelajar dan guru sebuah sekolah di sini disyaki dijangkiti wabak Leptospirosis atau kencing tikus selepas mengunjungi Kolam Air Panas Jasin, minggu lepas.

Pengarah Kesihatan Melaka Dr Ruzita Mustaffa berkata pada 7 Jun lepas, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah menerima notifikasi bahawa sekumpulan pelajar sebuah sekolah telah mengalami gejala demam, batuk, selesema dan sakit badan selepas mengikuti program terapi di kolam air panas berkenaan dua hari sebelum itu.

"PKD Melaka Tengah dimaklumkan sebanyak 78 peserta terdiri daripada pelajar, guru, ibu bapa dan penjaga telah mengikuti program tersebut. 

"Bagaimanapun, sebanyak 27 orang yang terdiri daripada 15 pelajar, sembilan guru dan tiga penjaga mengalami gejala demam, batuk, selesema dan sakit badan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lima daripada mereka iaitu seorang penjaga dan empat pelajar telah dimasukkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut dan dalam keadaan stabil manakala kes bergejala lain menerima rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Ayer Keroh.

Dr Ruzita berkata enam kes baharu wabak itu dikesan dalam kalangan orang awam yang berkunjung ke kolam air panas berkenaan sepanjang tempoh 7 Jun hingga semalam dan sampel klinikal pesakit telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kesihatan (MKAK) Sungai Buloh untuk ujian pengesahan Leptospirosis.

Beliau berkata berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan ke atas kolam air panas itu mendapati persekitaran kawasan berkenaan adalah kondusif untuk penularan Leptospirosis. 

Sampel persekitaran, katanya turut dihantar ke MKAK Sungai Buloh untuk ujian pengesahan dan sebagai langkah kawalan, pusat rekreasi itu telah ditutup selama 14 hari bermula 8 Jun lepas.

"Pengusaha diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan diminta menukar air kolam secara kerap serta berjadual, menjaga kebersihan dan memastikan tiada infestasi tikus atau haiwan pembawa penyakit lain. 

"Jabatan Kesihatan Negeri akan terus memantau perkembangan terkini kejadian kluster disyaki Leptospirosis ini serta meningkatkan kesiapsiagaan dalam melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan dengan kerjasama semua agensi yang berkaitan," katanya.

Dr Ruzita berkata orang ramai juga dinasihat agar sentiasa menjaga kebersihan semasa berkunjung ke pusat rekreasi dan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran jika bergejala.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan