AM

LAWATAN KERJA KE TURKIYE CAPAI MATLAMAT, BERMANFAAT UNTUK NEGARA - MOHAMED KHALED

13/06/2024 12:11 PM

Daripada Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad

ISTANBUL, 13 Jun (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merumuskan lawatan kerja selama lima hari ke Turkiye sejak Ahad lepas mencapai matlamat, bermakna, bernilai dan bermanfaat untuk industri pertahanan negara.

Beliau berkata hasil lawatan itu dapat mengukuhkan lagi hubungan pertahanan antara kedua-dua negara selain usaha Malaysia untuk membangunkan industri pertahanan negara mendapat sokongan padu Turkiye.

“Secara umumnya, kita berpuas hati dan terima kasih kepada semua yang turut terlibat bagi menjayakan program ini. Lawatan ini bersifat mendapatkan maklumat serta menyentuh soal pembangunan industri pertahanan termasuk meningkatkan kerjasama dalam bidang pertahanan” katanya pada sidang media di sini.

Hari ini adalah hari terakhir lawatan rasmi Mohamed Khaled di negara Eurasia itu yang terletak di antara benua Eropah dan Asia sejak dilantik Menteri Pertahanan pada 12 Dis tahun lepas.

Dalam lawatan itu, beberapa pertemuan dilaksanakan antaranya bersama rakan sejawat dari Turkiye Yasar Guler selain bertemu agensi pelaksanaan industri, sekretariat industri pertahanan Turkiye serta syarikat-syarikat ternama pertahanan negara itu seperti Turkish Aerospace Industries (TUSAS), Savunma Teknolojieri Muhendiskil (STM), Aselsan dan Makine ve Kimya Endustrisi (MKI).

Mengenai kemungkinan Kementerian Pertahanan menambah bilangan pembelian aset daripada Turkiye, Mohamed Khaled berkata ia bergantung keadaan kerana Malaysia sudah pun membeli tiga sistem pesawat tanpa pemandu Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial System (MALE UAS) dan tiga kapal misi persisir (LMS) batch kedua dengan Turkiye.

“Saya percaya bahawa kita tak boleh nafikan kekuatan industri pertahanan Turkiye. Selagi barang (yang diterima) itu berkualiti, harganya berpatutan, terma-terma dan perbincangan atau kerjasama yang baik boleh terhasil maka Turkiye akan terus menjadi keutamaan dan perhatian oleh Malaysia,” katanya.

Mohamed Khaled berkata Turkiye menghormati dan melihat Malaysia dalam kedudukan yang sama  untuk menjadi sebagai negara pengeluar (industri pertahanan) dan perkara itu boleh berlaku kerana Turkiye melihat Malaysia sebagai sahabat yang rapat.

Sepanjang di Turkiye, Mohamed Khaled turut menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Malaysia-Turkiye yang diadakan buat julung kali di Kementerian Pertahanan Nasional Turkiye di Ankara.

Beliau juga menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerajaan dengan kerajaan (G2G) berkenaan perolehan produk-produk pertahanan serta perjanjian kolaborasi dan kerjasama melibatkan pemain industri pertahanan Malaysia dan Turkiye.

Mohamed Khaled turut menyaksikan penyerahan Surat Setuju Terima (LOA) pembelian LMS batch kedua kepada syarikat pertahanan Turkiye STM pada Selasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan