AM

PENYASARAN SUBSIDI DIESEL: PENGUATKUASAAN PERLU LEBIH AMPUH, KAWAL KENAIKAN HARGA BARANGAN

13/06/2024 03:33 PM

IPOH, 13 Jun (Bernama) -- Kerajaan diminta lebih agresif dan proaktif dalam melaksanakan langkah penguatkuasaan bagi memastikan harga barangan keperluan harian dalam keadaan terkawal susulan  pelaksanaan penyasaran subsidi.

Bekas tentera Mohd Wazir Bakhari, 45, berkata beliau secara peribadi bersetuju tindakan subsidi diesel bersasar dilaksanakan kerana mampu membendung masalah penyeludupan bahan api ke negara jiran.

“Sebelum ini banyak berita mendedahkan penyeludupan diesel dari Malaysia ke negara jiran. Jadi bagi saya keputusan diambil kerajaan ini satu tindakan berani sekali gus membantu menjimatkan hasil wang rakyat untuk digunakan bagi perkara lebih bermanfaat,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Susulan langkah penyasaran subsidi diesel berkenaan harga diesel mulai 10 Jun lepas diapungkan, manakala subsidi antaranya melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi diteruskan dan program bantuan tunai RM200 BUDI MADANI kepada pemilik kenderaan diesel persendirian serta petani serta peladang kecil pula diperkenalkan.

Mohd Wazir yang memiliki kenderaan diesel berasa lega kerana beliau antara yang layak menerima BUDI MADANI.

“Secara peribadi, saya selaku pengguna menganggap bantuan melalui BUDI MADANI itu sangat berbaloi. Tambahan pula saya bukan guna kenderaan diesel secara harian kecuali jika hendak pulang ke kampung, pergi ke kebun serta mengangkut barang,” katanya.

Bagi peniaga Hasbol Mustafa, 39, yang menawarkan perkhidmatan mengangkut barangan berkata meskipun menyokong, namun beliau mahu pemantauan bersepadu dilaksanakan kerajaan kerana khuatir ada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sesuka hati.

“Saya sokong apa yang kerajaan buat cuma di pihak rakyat sendiri kita mahu pemantauan serta tindakan lebih tegas dikenakan kepada mana-mana pihak yang cuba menaikkan harga barangan secara semberono,” katanya.

Perkara sama dipersetujui petani Liew Kok Ming, 51, yang mahu kerajaan melalui agensi berkaitan lebih kerap turun padang bagi menerangkan butiran berkaitan program BUDI MADANI kepada setiap golongan sasaran.

“Kita kena tahu bukan semua golongan yang disasarkan tahu secara jelas tentang bantuan ini dan bagaimana cara mohon. Lebih teruk ada yang tak tahu bagaimana untuk mohon," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan