EKONOMI

MALAYSIAN RE, PACIFIC LIFE RE BEKERJASAMA PERTINGKAT PENYELESAIAN TAKAFUL SEMULA

14/06/2024 10:47 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Malaysian Reinsurance Bhd (Malaysian Re) dan Pacific Life Re Ltd, Singapore Branch (Pacific Life Re) telah memeterai satu memorandum persefahaman membabitkan penyediaan penyelesaian takaful semula kepada pengendali berkaitan.

Dalam kenyataan bersama hari ini, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Re Ahmad Noor Azhari Abdul Manaf berkata kerjasama itu bagi membolehkan kedua-dua pihak memenuhi pelbagai keperluan pelanggan masing-masing.

Kerjasama itu pertama kalinya dijalinkan pada 2019 dan sejak itu Malaysian Re, menerusi unit takaful semulanya, Bahagian Takaful Semula Malaysian Re (MRRD) yang bekerjasama dengan Pacific Life Re.

Usaha itu merangkumi penyelesaian takaful semula dengan memanfaatkan kepakaran global dan penyelesaian teknologi yang digerakkan oleh UnderwriteMe - anak syarikat milik penuh Pacific Life Re.

Ahmad Noor Azhari berkata dalam tempoh lima tahun pertama kerjasama itu, Malaysian Re tidak hanya mengembangkan perniagaan takafulnya, tetapi turut membabitkan perniagaan konvensional.

“Justeru, kami berharap dapat membuka peluang baharu daripada kerjasama yang dipertingkat ini. Menerusi usaha menggabungkan kekuatan dan kelebihan Malaysian Re dan Pacific Life Re, kami berada dalam kedudukan baik untuk terus menyediakan penyelesaian takaful semula yang inovatif dalam menangani cabaran risiko kompleks dihadapi oleh industri serta menggalakkan manfaat takaful semula kepada kumpulan pemain industri lebih besar," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pacific Life Re Vasan Errakiah berkata kerjasama itu menggariskan visi dan komitmen bersama Malaysian Re dan Pacific Life Re dalam memenuhi permintaan sektor terbabit selain menyumbang kepada peningkatan penyelesaian takaful semula.

“Menerusi usaha menggabungkan kepakaran bersama, kami yakin dapat terus memberi nilai lebih besar kepada pelanggan dan menyumbang untuk pembangunan pasaran takaful semula yang kukuh serta inovatif,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan