DUNIA

SAHAM UTILITI, KEWANGAN PACU KENAIKAN BURSA MALAYSIA PADA TENGAH HARI

26/06/2024 01:54 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi Rabu dengan lebih tinggi, didorong oleh minat belian ketara dan aktiviti memburu saham-saham wajaran tinggi terpilih yang didahului kaunter utiliti dan perkhidmatan kewangan.

Saham utiliti menyaksikan YTL Corp meraih sembilan sen kepada RM3.38, YTL Power International menokok 12 sen kepada RM4.79 manakala perkhidmatan kewangan CIMB naik lapan sen kepada RM6.76 dan Maybank mengukuh lima sen kepada RM9.96. 

Kesemua kaunter terbabit menyumbang sebanyak 5.84 mata kepada indeks komposit berkenaan.

Pada 12.30 tengah hari, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.28 peratus atau 4.44 mata kepada 1,589.82 berbanding paras 1,585.38 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 1.01 mata kepada 1,586.39 dan bergerak dalam jajaran 1,581.76 hingga 1,590.74 sepanjang sesi pagi ini.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 534 berbanding 395 manakala 476 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,040 tidak diniagakan dan 45 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 2.81 bilion unit bernilai RM1.53 bilion.

Firma pembrokeran Malacca Securities Sdn Bhd berkata kalangan peniaga masih memberi perhatian ke atas data Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) yang dijadual diumumkan minggu ini bagi mendapatkan lebih banyak petunjuk mengenai hala tuju kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed).

“Memandangkan Wall Street meningkat semula yang dipacu oleh (saham) NVIDIA, kami percaya aktiviti memburu saham-saham berharga rendah akan turut menular kepada saham teknologi Malaysia susulan perkembangan berkaitan pusat data, kecerdasan buatan (AI) dan perkhidmatan pengkomputeran awan yang berperanan sebagai pemangkin.

“Kami lebih meminati saham-saham yang berdaya tahan, selepas berlakunya penurunan di pasaran. Saham-sama ini juga berpotensi meraih hasil dan pendapatan lebih tinggi dalam persekitaran inflasi,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Tenaga Nasional susut lapan sen kepada RM13.92 manakala IHH Healthcare dan Press Metal Aluminium turun satu sen masing-masing pada RM6.27 dan RM5.78. 

Public Bank pula meraih tiga sen kepada RM4.03 dan Petronas Chemicals kekal pada RM6.49.  

Bagi saham aktif, Ingenieur Gudang dan Techna-X masing-masing tidak berubah pada 6.5 sen dan 37.5 sen, JCY International naik 4.5 sen kepada 74 sen, SBH Marine menokok 3.5 sen kepada 32 sen dan MY E.G. rugi dua sen kepada RM1.02. 

Indeks FBM Emas naik 41.74 mata kepada 12,200.11, Indeks FBMT 100 menokok 34.06 mata kepada 11,783.74, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 19.57 mata kepada 12,545.48, Indeks FBM 70 menambah 55.43 mata kepada 17,774.87 dan Indeks FBM ACE melonjak 77.79 mata pada 5,698.92.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 98.79 mata kepada 17,452.31 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.36 mata kepada 196.50.

Bagaimanapun, Indeks Tenaga susut 0.12 mata kepada 953.41 manakala Indeks Perladangan turun 22.72 mata kepada 6,985.40.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan