AM

SERAMAI 31,600 JEMAAH HAJI MALAYSIA MULA BERGERAK KE ARAFAH

14/06/2024 05:57 PM
Daripada Noor Shamsiah Mohamed @ Ismail

MAKKAH, 14 Jun (Bernama) -- Seramai 31,600 jemaah Malaysia, dalam kalangan dua juta umat Islam dari seluruh dunia yang menunaikan haji tahun ini, mula bergerak ke Arafah secara berperingkat sejak pukul tujuh pagi tadi untuk menunaikan ibadah wukuf esok yang merupakan kemuncak rukun Islam kelima itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata selain di Hotel Abraj Al-Janadriyah, sebanyak 20 buah bas turut disediakan untuk setiap maktab bagi membawa semua jemaah di 12 hotel penginapan secara tiga peringkat ke Arafah, yang terletak 22 kilometer dari Masjidil Haram.

“Kita harapkan agar jemaah haji sampai awal agar boleh menyelesaikan isu tempat duduk dan selepas itu boleh memulakan persediaan mereka untuk beribadah dengan melakukan zikir dan berdoa untuk mendapat pahala yang besar.

“Arafah merupakan tempat yang paling mustajab doa mereka yang sampai awal, berikan tumpuan untuk melakukan ibadah dan elak daripada melakukan perkara yang lalai untuk mengelak ia menjejaskan peluang mendapat haji yang mabrur,” katanya kepada pertugas media selepas menyaksikan pelepasan jemaah haji ke Arafah di sini hari ini.

Sementara itu buat pertama kalinya, pihak berkuasa Arab Saudi menampal pelekat khas pada setiap pintu bas yang telah dinaiki jemaah haji untuk mengelakkan kehadiran jemaah tanpa visa yang sah.

Mohd Na’im berkata langkah itu dilakukan selepas pihak berkuasa Arab Saudi mengimbas kad nusuk setiap jemaah haji yang menaiki bas berkenaan.

“Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, penguatkuasaan pihak berkuasa tahun ini sangat ketat dan telah banyak tangkapan dibuat. Ini menandakan keseriusan kerajaan Arab Saudi dalam menguatkuasakan peraturan di setiap ‘pit stop’ sebelum bas sampai di Arafah.

“Sebab itu saya ingin menasihati jemaah yang ingin menunaikan haji pada tahun-tahun akan datang supaya mengelak daripada masuk Makkah dan Madinah tanpa permit yang sah dan hanya menggunakan sama ada visa yang dikeluarkan oleh Tabung Haji atau Visa Mujamalah yang dikeluarkan oleh kedutaan,” katanya.

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini menetapkan hari wukuf 9 Zulhijah jatuh pada 15 Jun iaitu hari Sabtu ini, manakala hari Ahad merupakan hari pertama Hari Raya Aidiladha untuk penduduk negara berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan