AM

KKM KELUARKAN KOMPAUN KESALAHAN MEROKOK RM1.6 JUTA PADA MEI

14/06/2024 07:31 PM

PUTRAJAYA, 14 Jun (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan 6,605 kompaun bernilai RM1.6 juta sepanjang Mei lepas atas kesalahan merokok, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Beliau berkata 16,355 notis kesalahan dikeluarkan daripada 29,098 premis yang dilawati melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Bagi tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 yang bertujuan mencegah dan mengawal penyakit demam denggi, Dr Muhammad Radzi berkata 2,778 kompaun bernilai RM1.4 juta dikeluarkan dengan purata RM500 bagi setiap kompaun.

"Sejumlah 551 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah dan dalam masa sama, 71 kes telah disabitkan kesalahan dengan jumlah denda RM151,600. Terdapat satu kes dipenjara 10 hari oleh mahkamah kerana gagal membayar denda," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata 8,587 premis makanan diperiksa pada bulan lepas dengan 225 premis diarah tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Menurutnya tindakan penutupan sementara premis makanan dikuatkuasakan KKM sebagai langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan