AM

MALAYSIA DI TEMPAT KE-10 NEGARA PALING AMAN DI DUNIA DALAM GPI 2024

15/06/2024 07:29 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Malaysia telah naik sembilan anak tangga dalam Indeks Keamanan Global 2024 (GPI) untuk menduduki tempat ke-10 sebagai antara negara paling aman di dunia.

Menurut GPI 2024 yang dikeluarkan oleh Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP), keputusan itu adalah di tengah-tengah kemerosotan tahap purata keamanan global yang menyaksikan penurunan sebanyak 0.56 peratus dan ini merupakan tahun kelima berturut-turut ia merosot.

Malaysia berada di kedudukan ke-19 dalam laporan GPI 2023.

Berbanding negara jiran, Singapura diletak sebagai negara kelima paling aman di dunia manakala Indonesia di tempat ke-48 diikuti Laos (49), Kemboja (70) dan Thailand (75).

Laporan itu turut menyatakan bahawa Malaysia juga disenarai sebagai antara lima negara paling aman dalam domain konflik berterusan dan ketiga terbaik dalam domain ketenteraan.

Selain itu, Asia Pasifik mencatatkan sedikit kemerosotan dari segi keamanan dalam GPI 2024 dengan skor keseluruhan merosot sebanyak 0.1 peratus, bagaimanapun ia kekal sebagai rantau kedua paling aman di dunia sejak 2017.

Malaysia disenaraikan sebagai negara ketiga paling aman di rantau Asia Pasifik manakala New Zealand di tempat pertama diikuti Singapura di tempat kedua.

GPI 2024 juga mendapati dunia semakin tidak aman sejak 16 tahun lepas dengan skor purata negara merosot sebanyak 4.5 peratus selepas indeks itu dimulakan pada 2008.

 Menurut indeks itu, Iceland kekal sebagai negara paling aman di dunia diikuti Ireland (di tangga kedua), Austria (ketiga), New Zealand (keempat) dan Singapura manakala Yaman direkodkan sebagai negara paling tidak aman di dunia bersama-sama Sudan (162), Sudah Selatan (161), Afghanistan (160) dan Ukraine (159).

Daripada 163 negara dalam GPI, 95 mencatatkan kemerosotan, 66 menyaksikan peningkatan manakala dua merekodkan tiada perubahan. Tujuh belas daripada 23 petunjuk GPI merosot antara tahun 2008 dan 2023 manakala tujuh bertambah baik.

GPI ialah pengukur utama keamanan global serta membentangkan analisis yang dipacu oleh data paling komprehensif setakat ini dalam trend keamanan, nilai ekonominya dan cara membangunkan masyarakat yang harmoni.

Ini adalah edisi ke-18 GPI, yang menyenaraikan 163 negara merdeka mengikut tahap keamanan masing-masing merangkumi 99.7 peratus populasi dunia.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan