AM

OPS KHAS HRAA 2024: LEBIH 47,000 NOTIS PELBAGAI KESALAHAN DIKELUARKAN JPJ

16/06/2024 10:56 AM

KOTA BHARU, 16 Jun (Bernama) -- Sejumlah 47,003 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Ops Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2024 yang dilaksanakan selama empat hari bermula 10 Jun lepas.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan berkata daripada jumlah itu tiada Lesen Memandu Kompeten penyumbang tertinggi saman dikeluarkan iaitu sebanyak 12,188, diikuti Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh (9,711) dan kesalahan teknikal (8,109).

Beliau berkata JPJ telah memeriksa sebanyak 209,037 pelbagai kenderaan dan daripada jumlah itu 24,537 kenderaan diambil tindakan dengan 47,003 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan kerana gagal mematuhi peraturan jalan raya.

"Selain itu, kita turut mengesan dua pemandu bas berusia 61 dan 42 tahun terlibat dengan penggunaan bahan terlarang iaitu Methamphetamine dan ganja. 

“Kedua-dua pemandu bas terbabit dipercayai dalam perjalanan ke Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita selepas meninjau Ops Khas HRAA 2024 di Akademi JPJ Wilayah Timur, di sini malam tadi.

Muhammad Kifli berkata JPJ akan memanggil syarikat pengendali bas berkenaan dan laporan siasatan lengkap dikemukakan kepada pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat untuk tindakan di bawah Akta 715.

"JPJ juga akan menggantung lesen pemandu berkenaan di bawah Seksyen 36 Akta 333 setelah pengesahan lanjutan diperoleh daripada Agensi Antidadah Kebangsaan.

"Kita memandang serius dan tidak berkompromi dengan pihak syarikat, pemilik dan mana-mana pemandu yang masih tegar melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan," katanya.

Ops Khas HRAA 2024 yang diadakan selama 18 hari bermula 10 hingga 30 Jun ini, bertujuan  memastikan pengguna mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan agar selamat sampai ke destinasi dituju.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan