POLITIK

Peluang Cerah Untuk Calon Ph Menang Kerusi Sungai Bakap - Fadhlina

20/06/2024 02:56 PM

NIBONG TEBAL, 20 Jun (Bernama) -- Peluang calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin memenangi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap adalah cerah kerana masyarakat di kawasan itu sememangnya mahukan perubahan, kata Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan dan Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata masyarakat memerlukan pemimpin berkualiti yang dapat memimpin DUN Sungai Bakap ke arah lebih baik dari aspek pembangunan infrastruktur, ekonomi, sosial, agama, perpaduan dan pendidikan. 

"Saya melihat 'mood' yang sangat baik dalam kalangan masyarakat di sana (DUN Sungai Bakap) yang inginkan perubahan. Peluang yang cerah untuk calon Kerajaan Perpaduan memenangi PRK DUN Sungai Bakap kali ini," katanya kepada media hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 2 Julai.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandang Nor Zamri Mohd Nor pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan