AM

TUMPAHAN MINYAK AKIBAT PELANGGARAN KAPAL, JAS PANTAU PERAIRAN PENGERANG

20/06/2024 07:23 PM

JOHOR BAHRU, 20 Jun (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor giat menjalankan pemantauan susulan kes pelanggaran kapal di Terminal Pasir Panjang, Singapura hingga menyebabkan berlaku tumpahan minyak bahan api marin (MFO) 380 sulfur rendah di perairan Pengerang, Selasa lepas. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata jabatan itu menerima maklumat daripada Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) Singapura berhubung kejadian tumpahan minyak dianggarkan sebanyak 400 tan, pada 8.30 pagi. 

Beliau berkata susulan itu pihak JAS telah meminta bantuan daripada Jabatan Laut Wilayah Selatan, Lembaga Pelabuhan Johor, Pejabat Daerah Kota Tinggi, Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Marin Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Dialog Terminals Pengerang Sdn Bhd serta Petroliam Nasional Bhd (Petronas) Pengerang bagi membantu aktiviti rondaan dan mendapatkan maklumat keadaan semasa di laut.  

"JAS turut menerima maklumat daripada MPP bahawa terdapat pencemaran minyak di pantai Sungai Rengi, Pengerang di Kota Tinggi pagi semalam. Sehubungan itu, rondaan dan pemantauan di pantai berkenaan akan diteruskan hari ini. 

"(Bahkan) sekiranya perlu Pelan Tindakan Pembersihan Pantai akan diaktifkan bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan di pantai," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Pada masa sama, Ling berkata agensi berkaitan akan meneruskan pemantauan tumpahan minyak di sepanjang perairan Pengerang dari semasa ke semasa. 

"Kerajaan negeri juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi rondaan dan pemantauan pencemaran tumpahan minyak ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Surat Aznan Tamin menerusi laman Facebooknya berkata satu mesyuarat khas dipengerusikan Pegawai Daerah Kota Tinggi Ahmad Nazir Mohd Nasir akan diadakan esok bagi membincangkan insiden tumpahan minyak itu.

Menurut Aznan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, tujuan utama mesyuarat itu bagi mencapai ketetapan tertentu serta langkah intervensi yang perlu dilakukan untuk mengelakkan berlaku kejadian lebih buruk.

"Saya bersama Ahmad Nazir dan Pengarah JAS negeri Dr Mohd Famey Yusoff telah meninjau kawasan yang tercemar akibat tumpahan minyak.

"Pada 14 Jun (Jumaat) lepas, sebuah kapal Vox Maxima dari Belanda melanggar kapal tangki minyak Marine Honor dari Singapura yang menyebabkan kira-kira 400 tan minyak bocor ke perairan sekitar pantai Singapura dan telah merebak ke perairan negara serta diunjurkan akan merebak hingga pantai Teluk Ramunia," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan