AM

KERAJAAN PERUNTUK RM3.28 JUTA KEPADA PELADANG MADA TERJEJAS BANJIR

27/06/2024 04:40 PM

ALOR SETAR, 27 Jun (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperuntukkan RM3.28 juta kepada peladang-peladang Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang terkesan akibat banjir di Kawasan Muda tahun lepas.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata peruntukan menerusi Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) itu diluluskan untuk 2,546 peladang yang terjejas.

Beliau berkata bencana banjir yang melanda pada Ogos dan September 2023 itu mengakibatkan kawasan sawah seluas 3,276.4 hektar mengalami kerosakan.

"Kerajaan memperuntukkan wang ihsan melalui KPKM kepada MADA bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pesawah-pesawah MADA serta memberikan suntikan modal kepada pesawah-pesawah bagi aktiviti penanaman padi musim 1/2024 yang telah bermula pada 17 April lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan TBTP sempena MADA Day 2024 di Ibu Pejabat MADA di sini, hari ini.

Mohamad berkata daripada jumlah keseluruhan bantuan tersebut, sebanyak RM59,544 diperuntukkan kepada 35 orang peladang di kawasan MADA Wilayah I Perlis.

Sebanyak RM705,912 pula disalurkan kepada 566 orang peladang di kawasan Wilayah II Jitra; kawasan MADA Wilayah III Pendang sebanyak RM1.8 juta (1,156 peladang) dan Kawasan Wilayah IV Kota Sarang Semut RM715,415 (789 peladang).

Sementara itu, Pengerusi MADA Datuk Dr Ismail Salleh berkata pihak KPKM menerusi MADA, sentiasa mengambil berat khususnya perkara berkaitan kebajikan golongan pesawah di Kawasan Muda.

"Tugas serta peranan kementerian bersama pasukan dari jabatan dan agensi di bawahnya akan sentiasa menongkah arus dalam membawa gelombang perubahan sejajar dengan peredaran zaman, dengan berteraskan hasrat yang jitu bagi mengangkat agenda pemerkasaan kebajikan golongan petani, nelayan, penternak dan pesawah ke arah lebih baik," katanya.

Program MADA Day sempena Ulang Tahun Penubuhan MADA Ke-54 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, menyediakan platform bagi menggalakkan penyertaan peladang, usahawan serta warga MADA untuk berinteraksi serta bertukar pandangan, ilmu pengurusan berkaitan mekanisasi efisien dan percambahan idea baharu bagi melestarikan rantaian nilai tanaman padi dan industri makanan.

Antara program dan aktiviti menarik sepanjang MADA Day termasuk Pameran Road To MAHA 2024, sukan rakyat, ceramah agama, taklimat Jom Masuk TVET, seminar teknologi pertanian dan keusahawan, Jualan Rahmah dan Jualan Agro MADANI serta pameran jabatan dan agensi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan