EKONOMI

BAYARAN DIVIDEN DIJANGKA TINGGI PADA TAHUN KEWANGAN 2024 - UOB

22/06/2024 01:21 PM

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Syarikat terkemuka dalam sektor elektrik dan pembinaan selain syarikat bermodal besar dalam peruncitan bahan api, telekomunikasi dan pelancongan, bersedia untuk menawarkan dividen yang lebih tinggi pada tahun kewangan 2024.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata prospek ini disebabkan prestasi kewangan semaik baik dan keyakinan yang semakin meningkat.

“Peningkatan jangkaan dalam pengagihan dividen menandakan kesihatan kewangan dengan kebanyakan syarikat dijangka pulih sepenuhnya daripada kesan kewangan akibat pandemik.

"Trend aliran ini mencerminkan langkah strategik oleh lebih banyak syarikat untuk memberikan dividen sebagai sebahagian daripada strategi keseluruhan mereka," katanya kepada Bernama.

Khususnya sektor pembinaan sudah bersedia untuk aktiviti yang aktif secara berterusan, dirangsang oleh perancangan kukuh projek dan kontrak yang diumumkan tahun ini.

Penganugerahan kontrak tempatan kepada kontraktor tersenarai melonjak sebanyak 45 peratus suku ke suku kepada RM6.96 bilion pada suku pertama.

Sektor telekomunikasi sedang mengalami kebangkitan, didorong oleh lonjakan pelaburan digital dan transformasi teknologi di Malaysia baru-baru ini seperti pusat data berskala besar dan teknologi dipacu kecerdasan buatan (AI).

Tambahan pula, sektor tenaga Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan kukuh tahun ini, dirangsang oleh peningkatan permintaan untuk elektrik dan gas.

Sektor itu juga mendapat faedah daripada penurunan harga tenaga global yang boleh mengurangkan tekanan ke atas pertumbuhan pendapatan.

 

Dividen kekal sebagai pertimbangan penting dalam persekitaran trend menaik 

Pelabur melihat syarikat yang membayar dividen sebagai tempat perlindungan kestabilan semasa kemelesetan ekonomi.

Dalam persekitara kenaikan harga dalam pasaran, mereka syarikat-syarikat akan membuat pertimbangan terhadap pilihan antara saham asas dan saham dividen.

“Saham asas dipilih berdasarkan kekukuhan kewangan syarikat merangkumi faktor seperti pertumbuhan hasil, pendapatan dan metrik penilaian. Walaupun saham ini menawarkan prospek pertumbuhan, ia juga boleh menjadi tidak menentu,” kata Mohd Sedek.

Sebaliknya, saham dividen mengagihkan dividen tetap kepada pemegang saham, memastikan kestabilan pendapatan.

"Kepelbagaian merentas kedua-dua kategori boleh mengurus risiko dengan berkesan dan memenuhi objektif pelaburan individu," katanya.

Mohd Sedek berkata syarikat telekomunikasi Malaysia menonjol dengan dividen yang menarik, hasil daripada aliran hasil yang stabil dan perkhidmatan mereka.

Syarikat seperti ini biasanya mengekalkan pembayaran dividen yang konsisten.

Pembayaran dividen yang boleh dipercayai juga merupakan ciri utama sektor utiliti dan infrastruktur yang mendapat manfaat daripada aliran tunai yang stabil dan kontrak jangka panjang, menyumbang kepada pengagihan dividen konsisten.

“Dengan memegang saham dividen, pelabur boleh mengurangkan risiko portfolio kerana dividen memberikan penampan terhadap kerugian walaupun harga saham menurun.

"Selain itu, saham yang memberi dividen menunjukkan turun naik yang lebih rendah berbanding dengan saham yang tidak membayar dividen," katanya.

Bank dan amanah pelaburan hartanah (REIT) terkenal dengan hasil dividen yang menarik.

Beliau berkata penganalisis dalaman UOB Kay Hian mengunjurkan hasil dividen sebanyak 6.5 peratus pada 2024 untuk sektor perbankan dengan jangkaan ia meningkat kepada 6.8 peratus pada tahun 2025 dan seterusnya kepada 7.1 peratus pada 2027.

Saham REIT dijangka mencapai hasil dividen sebanyak 7.1 peratus pada 2024, 7.2 peratus pada 2025 dan 7.4 peratus pada 2027.

“Perlu diambil perhatian bahawa angka ini mewakili jangkaam dan bukan cadangan untuk membeli saham-saham ini,” kata Mohd Sedek.

 

Trend Menaik FBM KLCI

Mohd Sedek berkata FBM KLCI telah menunjukkan pemulihan yang konsisten sejak suku keempat tahun lepas.

Dengan sokongan padu daripada aktiviti pembelian institusi asing, FBM KLCI mencatatkan kenaikan tahun setakat ini sebanyak 9.41 peratus, menambah 136.83 mata.

Beliau berkata UOB Kay Hian Wealth Advisors telah menyemak semula sasaran akhir tahun untuk indeks barometer ke atas kepada 1,735, tahap terakhir dilihat pada tahun 2018, mencerminkan kecairan domestik yang lebih baik.

“Sebagai rujukan, sasaran bawah ke atas ialah 1,713 dan sasaran hipotetikal pada purata penilaian nisbah harga kepada pendapatan ialah 1,803.

“Pelabur kekal dalam optimis terhadap prospek ekonomi, memanfaatkan tema pelaburan tepat pada masanya seperti blok rantai (blockchain), Iskandar 2.0 dan projek mega, pemulihan kitaran semikonduktor global dan perdagangan dan komoditi dalam persekitaran jangkaan permintaan kitaran China yang meningkat untuk menaikkan harga logam perindustrian dengan ketara dan hasil tinggi, antara lain adalah pusat-pusat data dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan