AM

BEKAS JURUFOTO HIDAP PARKINSON TERHARU TERIMA SUMBANGAN TABUNG KASIH@HAWANA

22/06/2024 03:42 PM

SUNGAI PETANI, 22 Jun (Bernama) -- Bekas jurufoto akhbar The Star, Asri Abdul Ghani, 55, yang menghidap Parkinson melahirkan rasa terharu apabila menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA hari ini.

Asri berkata beliau tidak menyangka apabila turut tersenarai sebagai penerima sumbangan itu yang sebelum ini hanya mendengar mengenai bantuan berkenaan menerusi media.

"Saya memang tidak sangka apabila dihubungi pihak Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia) yang memberitahu bahawa HAWANA ingin menyampaikan sumbangan … saya sangat terharu dan berterima kasih atas sumbangan ini.

"Semoga Tabung Kasih@HAWANA akan terus membantu lebih ramai pengamal media khususnya yang memerlukan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Laguna Merbok di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj mengunjungi Asri di kediamannya bagi menyampaikan sumbangan itu.

Menceritakan mengenai keadaan kesihatannya, Asri yang bertugas sebagai jurufoto The Star antara 1999 hingga 2018, dikesan menghidap Parkinson sebaik sahaja menamatkan perkhidmatan dengan akhbar itu pada 2019.

Bapa kepada dua anak itu berkata sejak menghidap penyakit terbabit, pergerakan dan kawalan anggota tubuhnya sukar dan terganggu, serta perlu mengambil ubat khas untuk membantunya menjalani kehidupan seharian.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana masih mampu menguruskan dirinya sendiri, selain turut dibantu oleh isteri Asmidar Awang, 53, yang merupakan guru di sebuah sekolah di sini.

Dalam pada itu, Asri turut menasihati pengamal media agar sentiasa peka dengan tahap kesihatan masing-masing, menjaga pemakanan dan memiliki pelan insurans kesihatan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

"Kerja media memerlukan kita selalu berkejar ke sana sini, perlu pantas sehingga makan pun tak menentu dan tak sempat nak jaga kesihatan, jadi cuba bagi masa pada diri sendiri agar kesihatan tidak terganggu," katanya.

Asri adalah antara 110 rakan media yang menerima manfaat daripada Tabung Kasih @HAWANA yang  merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan menerusi Bernama, sejak ia diperkenalkan pada April tahun lepas.

Selain wang tunai, mereka turut menerima sumbangan barangan daripada Syarikat Pakaian Hari-Hari dan pasar raya Aeon Big.

Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 bertujuan menyantuni wartawan dan petugas media, sama ada yang masih dalam perkhidmatan mahupun telah bersara, yang keuzuran atau memerlukan bantuan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan