EKONOMI

KPJ HEALTHCARE JANGKA PERTUMBUHAN DUA ANGKA DALAM SEKTOR PELANCONGAN KESIHATAN TAHUN INI

26/06/2024 07:26 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- KPJ Healthcare Bhd menjangka akan mencapai pertumbuhan dua angka dalam sektor pelancongan kesihatan tahun ini.

Presiden dan Pengarah Urusan, Chin Keat Chyuan berkata sektor pelancongan kesihatan syarikat itu berkembang sebanyak 41 peratus pada tahun lepas.

Nilai tersebut mewakili kira-kira 8.3 peratus atau RM190 juta, daripada jumlah bahagian pasaran kesihatan Malaysia.

“Bahagian pasaran adalah sesuatu yang sedang kami perhatikan, bagaimana kami akan berkembang dan mudah-mudahan, ini membolehkan syarikat meraih bahagian pasaran dua digit.

“Dalam lima bulan pertama tahun ini, kami berkembang dengan pesat... dan kami berada di landasan yang betul untuk meneruskan trend semasa ke arah suku akan datang,” katanya kepada media selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) KPJ Healthcare ke-31 di sini hari ini. 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023, KPJ Healthcare melaporkan hasil sebanyak RM3,419 juta, peningkatan 19 peratus daripada tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukai (PBT) menokok 37 peratus kepada RM378 juta daripada RM275.1 juta yang dicatatkan semasa tahun kewangan 2022.

Keuntungan selepas cukai (PAT) daripada operasi berterusan melonjak 50 peratus kepada RM303 juta, berbanding RM202 juta sebelum ini.

Dalam satu kenyataan, KPJ Healthcare menjelaskan kejayaan pada 2023 sebahagiannya didorong oleh lima tonggak strategiknya iaitu pengoptimuman aset, sumber pertumbuhan baharu, pengutamaan digital, penjenamaan semula dan pengaktifan budaya, yang diperkenalkan sebagai sebahagian daripada perjalanan transformasinya.

 Chin juga mengumumkan pelancaran penjenamaan semula mereka bulan depan, yang akan lebih menjurus kepada keutamaan pesakit.

“Dalam perniagaan penjagaan kesihatan, adalah penting untuk bukan sahaja memanfaatkan teknologi tetapi juga memastikan ia mampu meningkatkan perjalanan pemulihan pesakit dengan ketara. Kami perlu bertanya kepada diri sendiri sama ada kami benar-benar berusaha untuk merangsang pesakit apabila mereka datang ke hospital-hospital kami.

“Adalah penting untuk mempertimbangkan bagaimana pesakit melihat nilai yang mereka terima berbanding dengan perkhidmatan yang disediakan. Memberi tumpuan kepada pengalaman pelanggan yang luar biasa adalah sesuatu yang kami perlu komited bagi benar-benar mewujudkan perubahan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan