EKONOMI

PENGGUNA, PERNIAGAAN AKAN MENDAPAT MANFAAT DARIPADA RANGKAIAN 5G KEDUA

25/06/2024 10:15 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin and Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Pengguna dan perniagaan dijangka bakal menikmati faedah penuh 5G dengan lebih banyak opsyen dalam pasaran apabila penyedia telekomunikasi bersaing untuk menawarkan perkhidmatan di tengah-tengah penubuhan rangkaian 5G kedua di Malaysia.

Pakar Ekonomi Geoffrey Williams berkata langkah itu akan mewujudkan pasaran yang kompetitif dalam sektor telekomunikasi selepas kerajaan memulakan proses memilih operator rangkaian mudah alih (MNO) bagi membangunkan rangkaian 5G kedua.

“Memiliki dua rangkaian akan menyediakan beberapa tahap persaingan selain mengelakkan monopoli. Ia memberi pengguna 5G lebih banyak pilihan serta mewujudkan persaingan pada harga dan kualiti. Inisiatif itu akan membolehkan penyedia 5G menawarkan penyelesaian yang mereka anggap paling berdaya maju dan mampan secara komersial,” katanya kepada Bernama.

Penganalisis GlobalData, Alfie Amir berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga boleh mendapat faedah daripada rangkaian dwi seperti ini kerana ia memacu inovasi dan pembangunan aplikasi perniagaan. 

“Sebagai contoh, ciri seperti pengkomputeran berbilang akses (MEC) serta penghirisan rangkaian akan membolehkan perusahaan industri baharu seperti kenderaan autonomi, robot, aplikasi Internet Pelbagai Perkara yang padat dan pembinaan kilang pintar untuk pekerja berisiko tinggi,” katanya.

Pada 21 Jun lalu, Kementerian Komunikasi mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memulakan proses menentukan serta melantik MNO untuk membangunkan rangkaian 5G kedua.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kementerian komited untuk melaksanakan model rangkaian dwi 5G bagi menamatkan elemen monopoli perkhidmatan 5G, justeru, memastikan pelan 5G mampu milik diwujudkan dan kualiti perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.

Langkah ke arah peralihan kepada rangkaian dwi 5G dibuat selepas Digital Nasional Bhd (DNB) mengesahkan bahawa semua syarat terdahulu di bawah perjanjian langganan saham (SSA) telah berjaya dipenuhi dengan empat MNO di Malaysia.

MNO tersebut ialah CelcomDigi Bhd melalui Infranation Sdn Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd, U Mobile Sdn Bhd, dan YTL Communications Sdn Bhd melalui YTL Power International Bhd.

 

Pemain Baharu

 

Williams menjangkakan konsortium sedia ada akan menjadi pesaing utama untuk pelancaran rangkaian 5G kedua dan peserta baharu mungkin muncul selepas proses pemilihan MNO dilakukan secara telus berdasarkan kuasa termasuk peruntukan yang ditetapkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurut kenyataan itu, Alfie menganggap rangkaian kedua boleh menarik pemain baharu seperti penyepadu sistem serta penyedia teknologi maklumat dalam industri. “Ini akan memacu persaingan melalui rangkaian perkhidmatan, inovasi dan kerjasama industri yang lebih meluas,” katanya.

Alfie ketika mengulas mengenai proses pemilihan berkata tiada pelaksanaan atau penanda aras sedia ada bagi pemilihan kerana amalan kerajaan- dorongan perkongsian rangkaian untuk 5G bukanlah perkara biasa dalam industri.

“Pemilihan mungkin berdasarkan (tetapi tidak terhad kepada) spektrum kriteria yang sudah tersedia yang merangkumi bilangan pelanggan sedia ada MNO, kapasiti rangkaian dan liputan rangkaian,” katanya, sambil menambah bahawa akan ada proses pemilihan vendor, perancangan rangkaian, logistik serta rantaian bekalan dan kemungkinan besar rangkaian itu akan siap pada tahun ini.

Alfie berkata MNO akan mempunyai kawalan yang lebih baik terhadap rangkaian 5G kedua kerana ia membolehkan mereka membuat perbezaan daripada pesaing mereka dan menjadi lebih inovatif untuk terus memacu pembangunan 5G. “Dengan model dwi rangkaian, setiap satu akan mempunyai kekuatan yang berbeza dan ia memberikan penyedia telekomunikasi pilihan yang lebih luas bagi membezakan perkhidmatan 5G mereka dengan pesaing,” katanya.

Bagaimanapun, Alfie menyatakan bahawa beberapa MNO sudah mempunyai pemilikan dalam rangkaian 5G pertama dan mempunyai dua rangkaian akan mewujudkan cabaran dalam penyepaduan serta kerja antara kedua-dua rangkaian termasuk rangkaian 2G dan 4G sedia ada MNO berkenaan.

Sehingga 30 April 2024, rangkaian 5G telah mencapai 81.5 peratus liputan kawasan berpenduduk (COPA) manakala kadar penerimaan untuk rangkaian 5G telah mencecah 39.2 peratus.

Penggunaan 5G untuk kategori individu telah mencecah 12.78 juta pengguna manakala bagi perusahaan, terdapat 422,609 akaun setakat akhir April.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan