AM

SULTAN NAZRIN BERKENAN RASMI KLINIK KESIHATAN KUALA KANGSAR

25/06/2024 12:42 PM

KUALA KANGSAR, 25 Jun (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat merasmikan Klinik Kesihatan Kuala Kangsar di sini hari ini. 

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Sultan Idris A'fifullah Shah dan Raja Di Hilir Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris A'fifullah Shah.

Keberangkatan tiba baginda berdua pada 11.08 minit pagi disambut oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin.

Hadir sama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Pada majlis itu Sultan Nazrin berkenan melafazkan lafaz perasmian dan menandatangani plak sebagai simbolik perasmian klinik berkenaan. 

Sementara itu Dzulkefly dalam sembah ucapannya berkata bangunan Klinik Kesihatan Kuala Kangsar itu dibina menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 dengan kos keseluruhan RM20.75 juta ringgit dan beroperasi sejak 4 Jan 2021.

Beliau berkata klinik itu menyediakan perkhidmatan kesihatan primer meliputi mukim Kota Lama Kiri, mukim Kota Lama Kanan, mukim Sayong dan mukim Senggang; dengan anggaran populasi 60,000 orang. 

"Klinik ini menyediakan perkhidmatan yang holistik melalui perkhidmatan pesakit luar dan kecemasan; perkhidmatan kaunseling oleh Pegawai Psikologi; makmal perubatan; farmasi; perkhidmatan X-Ray dan rehabilitasi

"Dua orang pakar perubatan keluarga telah ditempatkan di klinik ini bersama 111 anggota pelbagai jawatan; berserta seorang pakar periodontik bersama 37 anggota pelbagai jawatan untuk Klinik Pergigian," katanya. 

Dzulkefly berkata Klinik Kesihatan Kuala Kangsar memainkan peranan penting dalam transformasi penyampaian kesihatan primer dan sejak mula beroperasi, jumlah pengunjung telah meningkat daripada jumlah kira-kira 300 hingga 400 orang sehari pada tahun 2021, kepada 500 hingga 700 orang sehari tahun lepas.

Beliau berkata perkhidmatan di luar fasiliti turut disediakan bagi meningkatkan capaian kumpulan tertentu; iaitu melalui pasukan kesihatan, sekolah, dan pasukan penjagaan domisiliari bagi mereka yang memerlukan penjagaan di rumah.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan