SUKAN

AZEEM PASRAH JIKA TIDAK DAPAT BERAKSI DI OLIMPIK PARIS 2024

25/06/2024 02:44 PM

SEPANG, 25 Jun (Bernama) -- Jaguh lari pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi pasrah sekiranya tidak diberikan tiket wild card untuk beraksi dalam acara 100 meter (m) di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 pada bulan hadapan.

Menurut anak jati Perak itu, dengan usianya yang masih muda,  kini berumur 20 tahun, beliau berpandangan perjalanan kariernya masih jauh dan akan terus berusaha mengejar impiannya untuk beraksi pada edisi 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

“Andai kata saya tidak terpilih ke Olimpik Paris walaupun menggunakan tiket wildcard, saya sedikitpun tidak akan rasa terkilan atau kecewa kerana bagi saya mana-mana pihak yang buat keputusan itu merupakan pilihan yang terbaik.

“Apa-apa keputusan saya akan terima dengan hati yang terbuka. Jika saya tidak ada peluang bertanding di Olimpik Paris pada tahun ini, sudah pasti sasaran saya adalah LA2028.

“Pada waktu itu saya sudah berusia 24 tahun, insya-Allah jika dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki untuk berlari. Jadi pada umur tersebut, saya akan berada pada tahap terbaik,” katanya ketika ditemui di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disini hari ini.

Sebelum ini,  Azeem terlepas tiket untuk layak secara merit, baik menerusi had kelayakan mahupun kedudukan ranking apabila gagal menjuarai acara 100m lelaki di Terbuka Kazakhstan di Almaty pada Sabtu.

Pada kejohanan itu, beliau menamatkan saingan di kedudukan ketiga dengan catatan masa 10.37 saat (s) di belakang pemenang emas, Puripol Boonson dari Thailand 10.23s dan Kayhan Ozer dari Turkiye 10.25s.

Dalam pada itu, Azeem ketika ditanya berkenaan perancangannya jika gagal mendapatkan tiket ‘wild card’ beraksi di temasya berprestij itu, beliau berkata fokusnya akan tertumpu kepada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan berlangsung di Sarawak Ogos depan.

Menurut pemegang rekod kebangsaan acara 100 m itu, beliau tidak kisah sekiranya dilabel sebagai ‘jaguh kampung’ memandangkan niatnya adalah untuk membalas budi jasa buat negeri kelahirannya yang banyak membantu dalam perkembangan kariernya.

“Jika anda tanya saya, saya mahu bantu Perak, kerana MSN Perak banyak bantu saya sejak saya kecil lagi. Walaupun ketika itu saya berusia 14 tahun, MSN negeri banyak bantu saya dan berikan saya bantuan dari segi peralatan latihan, tempat penginapan, seperti SUKMA sebelum ini di KL dan Perak.

“Ini adalah kisah budak Teluk Intan yang mempunyai impian besar. Jika ada peluang mewakili Perak di SUKMA, saya akan lakukan terbaik. Misi utama adalah untuk memburu dua pingat emas dalam acara 100m dan 200m,” katanya yang akan beraksi di temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di Malang dan Surabaya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan