AM

21 KELUARGA DI KAMPUNG MAKAU SUAH DITAWAR RUMAH MAMPU MILIK

28/06/2024 11:20 PM

NIBONG TEBAL, 28 Jun (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang menawarkan rumah mampu milik kepada 21 keluarga di Kampung Makau Suah, Sungai Jawi di sini yang sebelum ini melahirkan kebimbangan susulan tanah diduduki sejak lebih 70 tahun lepas akan diambil semula pemiliknya.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata tawaran pembelian rumah berharga RM42,000 itu merupakan penyelesaian terbaik boleh diberikan kepada penduduk memandangkan tanah yang mereka duduki adalah milik persendirian.

"Kerajaan negeri selaku pihak ketiga cuba mencari penyelesaian dengan mencadangkan mereka supaya membeli rumah mampu milik, milik Kerajaan Pulau Pinang di Taman Puteri Gunung.

"Menerusi tawaran ini, penduduk perlu membayar 10 peratus pembayaran deposit. Cadangan awal pemilik tanah adalah mahu membayar RM3,000 sebagai pampasan tetapi kita akan cuba bincang mungkin jumlah itu dapat dinaikkan bagi membolehkan penduduk membayar deposit rumah berjumlah RM4,200," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk terlibat di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S. Sundarajoo dan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap Dr Joohari Ariffin.

Dalam pada itu Sundarajoo berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pemilik tanah esok untuk berunding mengenai pampasan selain akan memohon supaya notis meminta penduduk mengosongkan tanah pada Ahad ini dibatalkan memandangkan ada cadangan penyelesaian daripada pihak kerajaan negeri.

"Sekiranya penduduk bersetuju untuk membeli rumah yang ditawarkan kita akan percepatkan proses pemilikan. Kita buat surat perjanjian dengan pemilik tanah dan Lembaga Perumahan Pulau Pinang (LPPN) yang mana ia memakan masa lebih kurang tiga bulan dan apabila semuanya selesai, dapat kunci mereka sudah boleh berpindah," katanya.

Wakil penduduk Nordin Hassan, 66, meluahkan rasa lega apabila masalah yang dihadapi mereka mendapat perhatian kerajaan negeri yang sudi membantu dengan menawarkan pemilikan rumah pangsa berkenaan.

"Kami menerima notis mengosongkan tanah pada 26 Jun dan hanya diberikan masa empat hari untuk keluar, memang masa tu rasa susah hati jugalah. Hari ini kerajaan negeri datang buat tawaran, rasa seronok dan lega berbanding sebelum ini fikir macam-macam,” katanya yang menduduki tanah di situ sejak 1991.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan