JENAYAH & MAHKAMAH

KERANI FIRMA GUAMAN DIDAKWA MENYAMAR PEGUAM, BERI KETERANGAN PALSU

26/06/2024 03:12 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Seorang kerani wanita di sebuah firma guaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menyamar sebagai peguam dan memberi keterangan palsu berkenaan sebuah dokumen bank dalam satu prosiding mahkamah pada 2018 dan 2022.

K. Maragatham, 63, didakwa secara sengaja berpura-pura menggunakan gelaran peguam bagi sebuah firma guaman yang membayangkan tertuduh berkelayakan untuk bertindak sebagai seorang peguam cara.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Bukit Damansara di sini pada 3 Feb 2018, mengikut Seksyen 37(1)(B) Akta Profesion Undang-Undang 1976 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 37(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM2,500 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa memberi keterangan palsu berkenaan satu dokumen bank bertarikh 21 Okt 2022 semasa prosiding perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi Sivil di sini di hadapan Hakim Datuk Azimah Omar pada 28 Okt 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Sheryn Yong Shi Yee menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan manakala peguam Thayalan Moorthy memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya merupakan warga emas. 

Majistret Nurul Izzah Shaharuddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 8 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan