AM

TERENGGANU REKOD KEMASUKAN 1.5 JUTA PELANCONG SUKU PERTAMA 2024

26/06/2024 06:32 PM

KUALA TERENGGANU, 26 Jun (Bernama) -- Terengganu merekodkan kemasukan 1.5 juta  pelancong pada suku pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata jumlah tersebut membabitkan pelancong domestik dan luar negara ke pelbagai lokasi termasuk pulau-pulau peranginan di negeri berkenaan.

Beliau berkata jumlah itu menunjukkan perkembangan yang baik dan dijangka dapat mencapai sasaran 4.5 juta pelancong ke Terengganu tahun ini.

"Untuk suku pertama tahun ini, saya lihat (kemasukan pelancong) agak laju sedikit. Setakat ini dah ada 1.5 juta pelancong yang bermalam dan lawatan balik hari.

"Untuk suku kedua tahun ini, saya belum ada angka, tetapi jika dilihat kepada kadar penginapan, hotel melebihi 80 peratus dan chalet serta resort di enam pulau peranginan juga penuh," katanya selepas merasmikan Terengganu International Bike Week 2024 (TIBW) di Dataran Shah Bandar, di sini hari ini.

Pada program hari ini, Razali berkata TIBW yang berlangsung selama lima hari mulai hari ini dijangka menarik kunjungan 15,000 pelancong ke Terengganu.

Menurut beliau, seramai 3,000 pemilik motosikal berkuasa tinggi dari 106 kelab di Malaysia,Thailand, Singapura, Brunei dan Indonesia berkumpul di negeri ini untuk meneroka keindahan alam dan mengenali budaya masyarakat setempat.

Beliau berkata TIBW yang merupakan acara tahunan itu turut diselitkan dengan pelbagai program termasuk pameran motosikal berkuasa tinggi, klasik dan skuter menarik.

"Tahun lepas kita berjaya tarik kehadiran 10,000 pelancong sempena TIBW. Tahun ini, kita letak sasaran tinggi sedikit berdasarkan penyertaan lebih banyak kelab," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan