EKONOMI

BRAHIM’S SEDIA MAKANAN HALAL DALAM PENERBANGAN KEPADA TUJUH SYARIKAT PENERBANGAN TERKEMUKA DUNIA

29/06/2024 04:51 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Brahim’s Food Services Sdn Bhd kini menyediakan perkhidmatan makanan halal dalam penerbangan kepada 35 syarikat penerbangan antarabangsa termasuk tujuh syarikat penerbangan terkemuka dunia.

Syarikat itu dalam kenyataan berkata syarikat penerbangan berkenaan termasuk Qatar Airways, Emirates, ANA All Nippon Airways, Cathay Pacific Airways, Japan Airlines, Turkish Airlines dan EVA Air.

Menurut kenyataan itu, syarikat penerbangan berkenaan dinamakan antara 10 syarikat penerbangan teratas pada Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia 2024 yang diadakan pada 24 Jun lepas di London.

Ketua Pegawai Eksekutif Brahim’s Food Services Mohammad Fadhli Abdul Rahman berkata pengiktirafan ini membanggakan semua warga kerja syarikat sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pemain utama dalam pasaran penyediaan makanan halal bagi penerbangan global.

Brahim’s Food Services adalah anak syarikat kepada syarikat induknya Brahim’s Holdings Bhd.

Pengerusi Eksekutif Brahim’s Holdings Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata Brahim’s Food Services mencatatkan keuntungan kira-kira 12 juta untuk tahun kewangan berakhir 2023 walaupun menghadapi cabaran, termasuk kehilangan perniagaan Malaysian Airlines (MAS).

Menurutnya perkara ini dimaklumkan semasa mesyuarat agung tahunan Brahim’s Holding semalam.

“Kejayaan kewangan ini menunjukkan ketahanan dan model perniagaan yang kukuh dalam kumpulan syarikat Brahim’s”, kata Ibrahim.

Menurut kenyataan itu, reputasi syarikat sebagai penyedia makanan halal dalam penerbangan terbesar di rantau ini adalah wajar, dengan mempunyai dapur canggih yang meliputi kira-kira 60,000 meter persegi.

“Kemudahan ini yang dikendalikan lebih 550 pekerja berdedikasi,  beroperasi sepanjang masa dan mampu menghasilkan sehingga 60,000 hidangan setiap hari, mengikut standard halal dan memastikan kualiti dan keselamatan tertinggi dalam penyediaan makanan.

“Untuk masa depan, kami akan memperluas lingkungan, menyediakan pelanggan baharu dan berpotensi sambil mengekalkan nilai teras integriti, inovasi, dan kepuasan pelanggan,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan