SUKAN

BEN LEONG TERUS DAHULUI PIALA FORTUNER

26/06/2024 09:21 PM

SIBU, 26 Jun (Bernama) -- Ben Leong terus mendahului Piala Fortuner, kejohanan golf Jelajah Toyota 2024 selama tiga hari yang bermula di Kelab Golf Sibu semalam.

Leong melakukan enam birdie dengan satu double-bogey untuk mencatatkan empat bawah 66 dan kini berada 11 di bawah dan menuju ke arah kemenangan pertamanya pada Jelajah Toyota.

“Saya telah mendapat jurulatih baharu, Kevin Smeltz yang berpangkalan di Akademi Persatuan Golf Profesional (PGA), Mission Hills di Shenzen, China. Dia menggunakan peralatan berteknologi untuk membantu saya dari segi hayunan dan ia menampakkan kemajuan,” kata Leong yang diikuti tiga pukulan di belakang masing-masing oleh Edven Ying, Daeng Rahman dan Khor Kheng Hwai.

Ying, 22, yang memenangi Piala Vios di Templer Park Country Club setahun lalu memulakan pusingan kedua dengan hambar apabila dia bogey tiga daripada empat lubang pertamanya, tetapi melihat nasibnya berubah pada sembilan lubang kedua dengan melakukan tiga eagle di tiga par 5.

“Pukulan leret saya mengecewakan saya. Saya boleh mendapat skor yang lebih baik, tetapi permainan saya telah bertambah baik dan saya yakin akan berada dalam kelompok memberi saingan esok,” katanya.

Ying telah bermula di sembilan lubang belakang, melakukan peningkatan pada sembilan lubang kedua setelah menambah birdie pada lubang ke-15 dan tiga eagle di lubang 2, 5 dan 6 untuk menamatkan dengan dua bawah 68 untuk agregat dua hari 132 untuk berkongsi tempat kedua bersama Daeng Rahman dan Khor Kheng Hwai.

Seorang lagi pemain, Marcus Lim naik beberapa anak tangga apabila dia melakukan tiga bawah 67 untuk menduduki tempat kelima bersama Wilson Choo dan Nicholas Fung.

"Lima pukulan di belakang pendahulu, jadi saya rasa saya perlu melakukan sebaik mungkin esok dan cuba mengejarnya," kata Lim yang merasakan dia tidak cukup fokus pada beberapa pukulan.

Sementara itu, pemain amatur Mirabel Ting membuat dua bawah 68 untuk merampas kedudukan pendahulu dalam acara wanita dengan agregat dua hari 140, manakala pendahulu semalaman Geraldine Wong melakukan 72 dan mengekori atlet kelahiran Miri, Ting dengan tiga pukulan menuju ke pusingan akhir.

Berada di tempat ketiga ialah Michelle Koh dengan enam pukulan lagi di belakang.

“Boleh menjadi lebih baik tetapi saya tidak boleh merungut dengan kedudukan saya sekarang, mendahului kejohanan dengan tiga pukulan,” kata Ting yang merupakan pelajar sarjana muda di Florida State University di Tallahassee dan akan menamatkan ijazahnya pada 2026.

Dia yang melakukan lima birdie dan tiga bogey masih belum terfikir untuk menjadi pemain profesional, tetapi bercadang untuk melakukannya selepas tamat pengajian.

“Tidak pasti sama ada saya akan terus kekal dan bermain di Amerika Syarikat atau kembali dan bermain di rantau Asia Pasifik,” tambah Ting.

Andy Hii Siik Kiong dari Kalulong Sdn Bhd, pengedar utama kenderaan Toyota di Sibu yang menaja hadiah hole-in-one sebanyak RM3,000 setiap hari telah menaikkan pertaruhan kepada RM10,000 kepada mana-mana pemain yang melakukan hole-in-one di Lubang 8 dan 14 dalam pusingan akhir esok.

“Para pemain profesional kami memerlukan segala bantuan yang ada dan Kalulong berbangga untuk melakukan bahagian kami,” kata Hii yang mengesahkan bahawa walaupun terdapat lebih daripada satu hole-in-one, sesiapa yang mencapainya akan menerima RM10,000.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan