EKONOMI

PERMOHONAN BAYARAN BALIK SKDS 2.0 BERMULA 1 JULAI - MOF

28/06/2024 04:25 PM

PUTRAJAYA, 28 Jun  (Bernama) -- Kerajaan akan mula menerima pemohonan pembayaran balik daripada penerima Skim Kenderaan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 pada 1 Julai ini, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Kemudahan itu hanya kepada pemilik kenderaan logistik yang layak dan telah diluluskan permohonan mereka di bawah SKDS 2.0 tetapi masih belum mendapat fleet card.

Pemohon yang layak boleh memohon untuk mendapatkan pembayaran balik melalui portal BUDI MADANI di  https://budimadani.gov.my, dan tuntutan yang berjaya akan diberi bayaran balik secara tunai untuk menampung perbezaan antara harga runcit diesel terkini iaitu RM3.35 seliter dan harga SKDS 2.0 sebanyak RM2.15, bagi penggunaan diesel dari 10 Jun 2024, hingga pada had liter maksimum sebulan.

 

Berikut terma dan syarat bagi mekanisme pembayaran semula interim: 

 

1. Pemilik kenderaan logistik yang layak perlu memastikan telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi permohonan di bawah SKDS 2.0 sebelum atau pada 30 Jun 2024 dan masih belum menerima fleet card.

2. Permohonan fleet card perlu dihantar kepada syarikat pengendali stesen minyak terlibat sebelum 15 Julai 2024.

3. Tuntutan akan diterima bermula 1 Julai 2024.

4. Tertakluk kepada had liter tuntutan minyak diesel bagi setiap tuntutan yang setiap tuntutan hanya untuk perbelanjaan sebulan.

5. Resit asal pembelian diesel hendaklah disimpan bagi tujuan audit.

6. Kementerian Kewangan akan menyalurkan pembayaran semula tunai dalam 15 hari bekerja bagi setiap tuntutan yang diluluskan. 

7. Mekanisme interim pembayaran semula ini bertujuan untuk menampung perbelanjaan tambahan pemohon bermula 10 Jun 2024 hingga menerima fleet card atau bagi tempoh maksimum dua bulan, mana-mana yang terdahulu.

 

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah berkata menkanisme pembayaran semula itu bertujuan untuk membantu perniagaan logistik yang layak sejajar dengan mekanisme penyasaran susbsidi diesel, sekali gus dapat mengurangkan risiko kenaikan harga barangan keperluan.

 “Skim subsidi diesel bersasar ini bertujuan menangani ketirisan dan memastikan bantuan yang diberi dapat dimanfaatkan mereka yang memerlukan. Ini akan memperkasakan lagi pengurusan dan kecekapan kewangan awam dalam usaha meningkatkan kemakmuran negara seperti diilhamkan melalui kerangka Ekonomi MADANI,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata adalah penting untuk mengulangi bahawa kerajaan kekal komited dalam memastikan golongan yang layak akan mendapat manfaat bantuan yang disediakan kerajaan.

Amir turut menekankan bahawa kerajaan giat memastikan pelaksanaan skim penyasaran subsidi diesel berjalan lancar.

“Kami sentiasa terbuka kepada sebarang saranan dan penambahbaikan untuk memudahkan peralihan negara kepada inisiatif subsidi bersasar ini,” katanya.

Kerajaan menggesa pemilik 23 jenis kenderaan logistik komersial yang layak agar segera memohon SKDS 2.0 bagi mengelak daripada lonjakan kos pengangkutan. Pengusaha perniagaan logistik yang layak boleh mengemukakan permohonan SKDS 2.0 di https://mysubsidi.kpdn.gov.my.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan