AM

TIKET TAMBAHAN TREN ETS SEMPENA CUTI AWAL MUHARAM DIJUAL MULAI ESOK

27/06/2024 05:36 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan dua perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan bagi laluan Padang Besar-KL Sentral dan sebaliknya sempena cuti umum Awal Muharam pada 7 Julai ini.

Menurut KTMB  perkhidmatan tambahan itu bermula 5 hingga 7 Julai itu menawarkan 2,520 tiket termasuk dalam koc kelas perniagaan dan tiket akan mula dijual pada jam 10 pagi esok.

ETS tambahan berkenaan melibatkan tren nombor 9283 bergerak dari Padang Besar pada  jam11.05 pagi dan dijadual tiba di KL Sentral  pada jam 4.30 petang dan tren nombor 9286 dari KL Sentral akan bergerak jam 5 petang dan tiba di Padang Besar pada jam 10.20 malam.

“Penambahan perkhidmatan itu bertujuan menampung permintaan tinggi khususnya semasa cuti umum serta dapat mengelakkan kesesakan trafik bagi mereka yang ingin pulang ke kampung halaman,” menurut kenyataan KTMB di sini, hari ini.

Selain itu, KTMB menasihati pengguna agar merancang perjalanan dan membuat pembelian tiket lebih awal bagi menikmati tambang fleksibel yang lebih menjimatkan serta mengelakkan pembelian tiket pada saat akhir.

Orang ramai disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) yang boleh dimuat turun melalui Play Store, App Store dan AppGallery atau membuat pembelian terus di laman sesawang rasmi KTMB.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang rasmi www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan