AM

PENUMPANG ETS KUALA LUMPUR-IPOH NIKMATI PERJALANAN LEBIH PENDEK MULAI OGOS

26/06/2024 05:45 PM

IPOH, 26 Jun (Bernama) -- Pengguna Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Kuala Lumpur ke Ipoh dan sebaliknya akan menikmati masa perjalanan lebih pendek dengan pengenalan perkhidmatan ETS Ekspres bermula Ogos ini.

Ketua Pegawai Operasi KTMB Mohd Zain Mat Taha berkata perkhidmatan itu akan memendekkan perjalanan kepada dua jam untuk sektor KL Sentral-Ipoh berbanding kira-kira 2 jam 40 minit sebelum ini.

“Ini adalah penambahbaikan yang kita buat untuk penumpang dari KL ke Ipoh selaras dengan projek menaik taraf sistem dan infrastruktur Landasan Berkembar Lembah Klang (KDVT) Fasa 1 yang siap secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Pakej Promosi Maklumat Produk dan Tempat Pelancongan di Bandaraya Ipoh melalui ETS di sini hari ini dan turut dihadiri Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin.

Sebelum ini, KTMB dalam kenyataan memaklumkan akan memperkenalkan enam perkhidmatan ETS Ekspres daripada 32 perkhidmatan sedia ada bagi sektor KL Sentral-Ipoh-KL Sentral, KL Sentral-Butterworth-KL Sentral dan KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral.

Dengan perkhidmatan tersebut, tren ekspres hanya akan berhenti di stesen utama dan perjalanan mengambil masa dua jam bagi sektor KL Sentral-Ipoh, sektor KL Sentral-Butterworth (tiga jam 30 minit) dan KL Sentral-Padang Besar (empat jam 50 minit).

Sementara itu, Rumaizi berkata pengiklanan melalui ETS menjadi inisiatif terbaharu yang dibuat oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan kerjasama KTMB  bagi mempromosikan maklumat produk dan tempat pelancongan menarik di bandar raya itu.

“Pada Disember tahun lalu, MBI telah mengambil pendekatan melancarkan Tahun Melawat Ipoh 2023 sebagai showcase kepada Tahun Melawat Perak 2024 dan satu langkah persediaan meletakkan bandar raya Ipoh dalam peta pelancongan sebelum Tahun Melawat Malaysia 2026

“Memandangkan perjalanan ETS adalah dari Kuala Lumpur sehingga Padang Besar di sebelah utara dan dari Kuala Lumpur ke Gemas di sebelah selatan, maka pihak MBI amat yakin pengiklanan ini akan menarik lebih ramai pengunjung ke bandar raya Ipoh,” katanya.

Beliau berkata produk yang akan dipromosikan telah disegmenkan kepada 3H (Hipster, Heritage and Health) meliputi pertumbuhan kafe berbentuk hipster, 27 bangunan bersejarah yang wujud sejak zaman British dan fasiliti hospital yang canggih serta sedia menerima pesakit luar negara untuk mendapatkan rawatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan