AM

IPR-INTAN : PENGUSAHA LADANG FERTIGASI RAIH HASIL TUAIAN SULUNG CECAH RM450,000

27/06/2024 06:02 PM

Oleh Mohamad Harith Mohamad Nizar

IPOH, 27 Jun (Bernama) -- Nikmat berbudi pada tanah, seorang pengusaha ladang fertigasi yang menyertai projek Inisiatif Pendapatan Rakyat-Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN) membuktikan hasil tidak mengkhianati usaha, apabila berjaya memperoleh hasil tuaian sulung cili dan terung yang ditanamnya mencecah RM450,000.

Mohd Helmy Mazli, 40, yang mengusahakan ladang fertigasi Ulu Kinta berkata bagi musim pertama yang dilaksanakan dari Januari hingga Mac, projek itu dimulakan dengan penanaman 40,000 polibeg cili dan 20,000 polibeg terung.

Beliau berkata dari Mac hingga Mei, pekerjanya berjaya menuai cili seberat 60 tan, manakala terung pula 55 tan yang mendatangkan hasil jualan kira-kira RM450,000.

“Jualan sebelum ini (untuk musim pertama), semua dah habis sebab selesai sahaja kita tuai kesemuanya, pelanggan akan terus ambil (tanaman tersebut),” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Lebih membanggakan, menerusi hasil ladang itu beliau berjaya membiayai gaji pekerja seramai 30 orang termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), setiap bulan.

IPR, yang merupakan inisiatif di bawah Kementerian Ekonomi, merangkumi tiga model iaitu Inisiatif Usahawan Tani (Intan), Inisiatif Usahawan Makanan (Insan) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (Ikhsan), dilancarkan pada 26 Feb 2023 dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat sejajar dengan kenaikan kos sara hidup. 

Mohd Helmy berkata projek ladang fertigasi itu dimulakan pada September tahun lepas, dengan geran permulaan yang diberikan kerajaan bernilai RM1.86 juta, yang dibelanjakan bagi menyediakan kelengkapan infrastruktur dan tanaman.

“Untuk kos operasi lain saya kena keluarkan modal sendiri. Apabila dapat hasil itu saya kena kutip semula untuk kos operasi musim seterusnya, menggunakan duit jualan tadi,” katanya sambil menambah tanah disewa di Hospital Tanjung Rambutan itu, adalah untuk tempoh tiga tahun.

Mohd Helmy berkata beliau dan pekerjanya, kini sedang dalam proses mencuci kawasan ladang bagi memberi laluan kepada tanaman baharu pada 1 Julai ini, untuk musim seterusnya.

 Beliau berkata ia akan mengambil tempoh 75 hari sebelum mereka dapat menuai tanaman tersebut.

“Untuk Julai ini kita tanam 100 peratus cili sahaja, iaitu sebanyak 60,000 polibeg...kali ini kita tiada terung dah sebab kalau ikut kepada permintaan, cili lebih tinggi, lagi banyak,” katanya.

Mohd Helmy berkata tanaman musim kedua dijangka dapat dituai pada hujung September ini. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan