AM

HASRAT MENINGGAL DUNIA DI TANAH SUCI TERMAKBUL

27/06/2024 07:34 PM

KOTA BHARU, 27 Jun (Bernama) -- Warga emas, Abd Wahab Ramli, 60, yang meninggal dunia di Tanah Suci pada Selesa lepas kerana menghidap kanser periampullary tahap empat pernah menyuarakan hasrat untuk meninggal dunia di Makkah. 

Isteri Allahyarham, Noraini Mat Sari, 60, berkata hasrat tersebut disuarakan suaminya kepada jiran-jiran yang berkunjung sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci pada 10 Mei lepas bagi mengerjakan haji.

“Suami saya disahkan menghidap kanser pada Feb lepas tetapi berada dalam keadaan sihat ketika berangkat ke Tanah Suci sekali gus membolehkannya untuk menunaikan ibadah haji.

“Bagaimanapun, lima hari sebelum wukuf keadaan kesihatan suami saya merosot dan dia dirawat di Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) Syisyah di Mekah,” katanya kepada pemberita di Kampung Keseng, Jalan Kuala Besar di sini hari ini.

Abd Wahab Ramli meninggal dunia pada 4.38 petang (waktu Arab Saudi) iaitu dua hari sebelum dijadualkan berangkat pulang ke tanah air hari ini selepas 49 hari berada di negara itu.

Menurut Noraini suaminya hanya mampu melakukan Safari Wukuf kerana tahap kesihatan yang tidak mengizinkan ekoran paras oksigen berada di bawah 50 peratus.

“Saya meminta bantuan daripada petugas TH untuk meletakkan saya sebilik bersama suami bagi menguruskan keperluan serta memantau tahap kesihatannya,” kata ibu kepada empat cahaya mata itu.

Menurutnya sewaktu di Makkah dia juga tidak berhenti berdoa dan memohon kepada Allah SWT agar menghilangkan sel kanser yang dihadapi suaminya.

“Namun, saya reda dengan ketentuan Ilahi (pemergian arwah suami) kerana tidak sanggup melihat arwah menanggung kesakitan. Saya juga bersyukur kerana jenazah suami telah disolatkan di hadapan jutaan jemaah haji dari seluruh dunia di Masjidil Haram.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua petugas TH kerana membantu menguruskan proses pengebumian arwah suami di Tanah Perkuburan Sharaya di Makkah,” katanya.

Terdahulu, Pemangku Pengarah TH Kelantan Mohamad Rosli Mustapai ketika menyampaikan sumbangan khairat kematian berkata kematian Abd Wahab merupakan yang kedua melibatkan jemaah dari Kelantan selepas seorang jemaah wanita berusia 54 dari Kota Bharu meninggal dunia pada 19 Jun lepas.

Beliau berkata terdapat  2,400 jemaah dari Kelantan pada tahun ini yang melibatkan 13 penerbangan dan lima penerbangan telah selamat sampai ke tanah air, manakala penerbangan terakhir dijangka pada 2 Julai ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan