EKONOMI

UNTUNG BERSIH SUKU PERTAMA SAPURA ENERGY SUSUT KEPADA RM82.13 JUTA

27/06/2024 08:58 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Keuntungan bersih Sapura Energy Bhd untuk suku pertama berakhir 30 April 2024 (tahun kewangan 2025) menyusut kepada RM82.13 juta berbanding RM146.09 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini.

Pendapatan meningkat kepada RM1.18 bilion daripada RM951.73 juta.

Syarikat itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini memberitahu keuntungan yang lebih rendah itu adalah disebabkan oleh perbelanjaan operasi serta kos kewangan yang lebih tinggi.

“Bagaimanapun, peningkatan dalam hasil telah disumbangkan oleh kenaikan perolehan yang diiktiraf daripada segmen kejuruteraan dan segmen pembinaan (E&C) susulan kemajuan projek yang lebih tinggi pada suku semasa. Perolehan dalam segmen tersebut melonjak 42.5 peratus kepada RM818.9 juta berbanding RM574.8 juta yang disaksikan pada suku pertama tahun kewangan 2024,” katanya.

Sapura Energy dalam satu kenyataan berasingan berkata tempahan dalam tangan terkumpul kumpulan kini berjumlah RM7 bilion, naik daripada RM5 bilion yang dicatatkan pada suku keempat tahun kewangan 2024.

Tempahan dalam tangan tidak disatukan yang dipegang oleh syarikat usaha sama dan entiti bersekutu Sapura Energy meningkat dua kali ganda daripada suku sebelumnya, mencecah paras RM7.1 bilion, berbanding RM3 bilion sebelumnya.

“Tempahan dalam tangan ini merangkumi kejayaan baharu dalam segmen operasi dan penyelenggaraan daripada Sapura Subsea Services Sdn Bhd, yang dianugerahkan kontrak penyediaan perkhidmatan bawah air pan Malaysia bagi kumpulan syarikat Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) serta kontraktor penyusunan pengeluaran,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Sapura Energy berkata ia kekal komited untuk membida projek di pasaran Malaysia dan antarabangsa selain akan terus memberi tumpuan kepada keupayaan terasnya sambil memantau peluang yang timbul daripada peralihan tenaga.

Syarikat itu juga berada di landasan yang betul dengan melaksanakan pelan penetapan semulanya, yang merangkumi usaha untuk menangani hutang yang tidak mampan dan yang perlu dibayar kepada pemiutang perdagangan.

“Kami tetap komited untuk menyesuaikan kedudukan kewangan kami, dengan matlamat akhir bagi menyahklasifikasi sebagai Nota Amalan 17 (PN17 ) syarikat,” tambahnya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan